Dua syarikat perlombongan di Gua Musang diarah henti kerja serta-merta

PUTRAJAYA - Dua syarikat dipercayai menyebabkan pencemaran di Sungai Kelaik, Gua Musang, Kelantan diarah untuk menghentikan kerja-kerja perlombongan berkuat kuasa serta-merta.
Menerusi kenyataan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, arahan itu dikeluarkan melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) terhadap Syarikat Aqua Orion Sdn Bhd dan Syarikat Perlombongan Gua Musang Sdn Bhd (Redstar Capital Sdn Bhd) mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127).
Menurutnya, siasatan mendapati Aqua Orion telah menjalankan aktiviti tanpa mendapat kelulusan di bawah subseksyen 34A(3) dan kertas siasatan akan dibuka dengan segera di bawah subseksyen 34A(6).
"Bagi Syarikat Perlombongan Gua Musang, hasil siasatan mendapati premis tidak beroperasi di mana tiada sebarang kerja-kerja mengorek bijih besi atau memproses bijih besi dijalankan.
"Tindakan penguatkuasaan akan diambil di bawah Akta 127 sekiranya didapati penggerak projek gagal mematuhi mana-mana syarat kelulusan laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi memastikan pelaksanaan projek dapat mengurangkan dan meminimakan kesan kepada reseptor sensitif alam sekitar," katanya pada Rabu.
Ujar beliau, JAS juga akan mengemukakan surat kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Kelantan supaya menangguhkan kelulusan pembaharuan lesen melombong kepada Aqua Orion sehingga laporan EIA dikemukakan untuk penilaian dan kelulusan.
"Pemantauan akan dilaksanakan secara berterusan di tapak projek dan sebarang ketidakpatuhan di bawah Akta 127 akan diambil tindakan perundangan yang tegas," jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!