KPM pastikan pengurusan SOP SPM dipatuhi

JOHOR BAHRU - Kementerian Pendidikan (KPM), akan memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 berlangsung.
Menurut Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan, SOP berkenaan dibuat bagi memastikan tiada sebarang masalah termasuk isu kebocoran soalan peperiksaan timbul.
Katanya, hasil siasatan mendapati dakwaan kebocoran kertas peperiksaan Sejarah yang tular sebelum ini sebagai tidak berasas.

"Setelah kita buat siasatan tidak ada elemen yang berkaitan dengan kebocoran.
"Malah SOP sedia ada yang telah berkuat kuasa dilihat berada pada tahap yang terbaik dan kita akan terus patuhi SOP ini," katanya.
Azman berkata demikian pada sidang akhbar setelah menyempurnakan majlis penyerahan cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP), Negeri Johor 2025, Penyerahan Peranti dan Sijil Kolaboratif bagi Program Anak Kota: Tuisyen SPM - Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor, pada Isnin.
Untuk rekod, seramai 402,956 calon berdaftar menduduki SPM 2024 hingga 6 Februari depan membabitkan peperiksaan bertulis di seluruh negara.
Sementara itu, mengulas mengenai bencana banjir di Johor Azman berkata, tiada pusat peperiksaan alternatif dibuka setakat ini.
Malah katanya, seramai tujuh calon SPM yang juga merupakan mangsa banjir dari daerah Kota Tinggi hadir ke sekolah bagi menduduki peperiksaan berkenaan.
"Setakat ini tidak ada pusat peperiksaan alternatif kerana pusat peperiksaan sedia ada telah dapat menguruskan semua isu melibatkan pelajar terjejas banjir," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
