KPM sedang gubal dasar pendidikan wajib sekolah menengah tangani isu keciciran

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang dalam proses menggubal Dasar Pendidikan Wajib Sekolah Menengah di Parlimen bulan depan sebagai langkah proaktif bagi menangani isu keciciran murid di peringkat menengah.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, langkah itu juga berpotensi mengangkat dasar pendidikan wajib sekolah menengah.
"Ini merupakan satu lagi inisiatif KPM dan langkah yang dapat kita laksanakan sebaik mungkin bagi mengatasi isu kehadiran, keciciran dan peningkatan kualiti pendidikan dalam negara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas hadir menyempurnakan Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Tahun 2025 di Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Fadhlina meminta semua pihak memberi KPM masa sehingga 6 Februari ini bagi membuat kesimpulan berhubung isu pelajar gagal hadir kertas Bahasa Melayu dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.
Menurutnya, angka itu tidak matang dan telah digembar-gemburkan walaupun peperiksaan SPM masih belum tamat lagi.
“Selepas tarikh itu, baharulah kita rumuskan dan pastikan semua proses berkaitan dengan kehadiran anak-anak kita ini dapat kita buat konklusi yang lebih tepat.
“Jadi bagi kita masa sehingga habis SPM dan kita sedang melakukan dalam semua aspek dari segi tindakan dan proses bagi memastikan anak-anak ini datang mengambil SPM," katanya.
Jelas Fadhlina, tindakan ini dibuat secara berterusan bukan semasa hendak SPM baru diambil tindakan,
“Ia merupakan proses sepanjang tahun untuk pastikan mereka hadir, termasuk program Cakna Ziarah yang kita memang lakukan bersama komuniti, ibu bapa dan Jabatan Pendidikan Negeri.
“Saya ingin memberikan peringatan kepada ibu bapa agar turut mengambil tanggungjawab berkaitan kehadiran anak-anak ini.
“SPM ini sangat penting. Ini adalah peperiksaan terakhir mereka dalam persekolahan mereka,” ujarnya.
Sementara itu, berhubung dakwaan kertas peperiksaan SPM bocor, Fadhlina berkata sebarang dakwaan akan disiasat dengan teliti kerana SPM adalah peperiksaan berkepentingan tinggi.
“Jadi sebab itu, saya fikir dalam konteks bocor ini, ia adalah satu isu yang sangat kritikal jika ada dakwaan, mesti disiasat serta-merta
“Termasuk soal keselamatan, soal kerahsiaan, peperiksaan SPM ini memang sangat dijaga," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!