CCTV AI selesaikan masalah pembuangan sampah haram

Chai Yi menunjukkan rakaman imej CCTV AI yang dipantau Pusat Khidmat DUN Simpang Pulai.
Chai Yi menunjukkan rakaman imej CCTV AI yang dipantau Pusat Khidmat DUN Simpang Pulai.
A
A
A

IPOH - Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) berteknologi kecerdasan buatan (AI) yang dipasang di lima lokasi panas sekitar kawasan Simpang Pulai berjaya menyelesaikan masalah pembuangan sampah haram.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai, Wong Chai Yi berkata, inisiatif yang dijalankan pusat khidmatnya itu mula menunjukkan pengurangan ketara longgokan sampah haram di kawasan terbuka termasuk di luar tong sampah roro.

Menurutnya, lima lokasi yang dipasang CCTV ialah di Pasar Gunung Rapat, Halaman Ampang Mewah, Persiaran Wira Jaya Timur 50, Jalan Desa Ampang 25 dan Jalan Harilela A1 melibatkan peruntukan RM50,000.

"Aduan melibatkan lima kawasan ini sangat serius apabila sepanjang jalan dan longkang dipenuhi sampah.

"Menerusi CCTV ini, imej yang dipaparkan lebih jelas apabila boleh mengenal pasti kenderaan berserta nombor pendaftaran serta perlakuan individu yang membuang sampah secara haram.

"Minggu pertama dipasang, memang kita nampak impak besar apabila di kelima-lima lokasi yang dahulunya penuh dengan longgokan sampah domestik dan pukal berkurangan secara drastik," katanya ketika ditemui selepas meninjau pemasangan CCTV di Pasar Gunung Rapat, di sini pada Ahad.

Chai Yi berkata, langkah itu juga berjaya memperkukuhkan penguatkuasaan dan pemantauan pihak berkuasa tempatan (PBT) terhadap individu atau pihak tidak bertanggungjawab yang mencemarkan alam sekitar.

Artikel Berkaitan:

"Rakaman CCTV ini siap dihubungkan dengan 'command centre' melalui nombor telefon Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Pusat Khidmat DUN Simpang Pulai.

"Minggu pertama pemasangan CCTV ini, ada lima kes diambil tindakan yang mana MBI akan mengeluarkan kompaun RM1,000 kepada pembuang sampah haram di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974," jelasnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing berkata, pemasangan CCTV itu bukanlah untuk menghukum sebaliknya untuk mendidik masyarakat supaya membuang sampah di lokasi yang disediakan.

"Amat mendukacitakan apabila kita lihat kesedaran orang ramai terhadap masalah sampah haram ini kurang memuaskan hinggakan sampah dibiarkan berlonggok meskipun kemudahan sudah tersedia.

"Itu yang menyebabkan kita terpaksa menggunakan dana memasang CCTV ini, kita bukan berniat untuk menghukum pesalah tetapi untuk mencegah dan juga meningkatkan kesedaran dalam kalangan penduduk,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!