[VIDEO] Tindakan tegas, hukum pemandu lori bawa sampah haram

A
A
A

SUBANG JAYA - Pemilik bangunan di Taman Perindustrian Puchong Utama di sini, menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) segera bertindak mengatasi masalah pembuangan sampah haram di kawasan mereka.

Menurut pemilik bangunan terbabit, Chin Chee Yuen, masalah berkenaan didakwa telah berlarutan sejak tahun lalu.

"Kawasan yang terjejas ini terletak di Jalan Utama 1/9 bersebelahan bangunan saya dan rakan, perkara ini perlukan perhatian PBT," ujarnya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi pada Isnin.

Tinjauan Sinar Harian turut mendapati tapak pembuangan sampah haram itu bukan sahaja berbau busuk malah sampah dibuang pihak tidak bertanggungjawab itu adalah sampah industri.

Dalam pada itu, Chee Yuen mendakwa, lokasi itu menjadi kawasan pembuangan sampah secara haram kerana faktor keadaan persekitarannya yang agak sunyi.

Chee Yuen (kiri sekali) mendakwa masalah berkenaan berlarutan sejak tahun lalu
Chee Yuen (kiri sekali) mendakwa masalah berkenaan berlarutan sejak tahun lalu

"Kalau boleh PBT dapat mendirikan papan tanda 'jangan membuang sampah' dan hukuman berat kepada pihak membuang sampah di merata-rata tempat.

"Kita juga berharap agar aktiviti lori haram yang membuang sampah ini dapat dipantau dan PBT dapat mengeluarkan hukuman berat kepada pemandu lori sampah haram terbabit," ujarnya.

Sementara itu, seorang wakil kepada pemilik bangunan, Mohd Safie Nafis turut bersetuju dengan pandangan sekiranya PBT dapat memasang kamera litar tertutup di kawasan itu.

Artikel Berkaitan:

Keadaan persekitarannya yang agak sunyi antara faktor lokasi terbabit menjadi kawasan pembuangan sampah secara haram
Keadaan persekitarannya yang agak sunyi antara faktor lokasi terbabit menjadi kawasan pembuangan sampah secara haram

"Selain itu, kita juga berharap kontraktor dilantik PBT dapat mengutip sampah di kawasan tersebut secara lebih kerap agar ia tidak menjadi sebagai tapak pelupusan sampah haram," ujarnya.

Sementara itu, dakwa seorang peniaga yang enggan namanya dikenali pula, tapak pembuangan sampah haram itu mampu menyumbang merebaknya pelbagai jenis penyakit.

Sehubungan itu, mereka berharap Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) segera membersihkan kawasan itu yang mempunyai sampah pukal seperti perabot dan sampah industri dibuang pihak tidak bertanggungjawab.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!