10 pandemik paling dahsyat serang manusia

WABAK penyakit yang tersebar secara meluas telah membentuk sejarah manusia dan memberi pengajaran kepada dunia perubatan selain meragut jutaan nyawa.
Pandemik merupakan wabak global yang menular dengan melangkaui sempadan negara dan benua pada skala besar serta menjejaskan komuniti.
Ia juga memberi impak besar kepada kehidupan harian dan menjadi medan ujian keberkesanan sesuatu vaksin. Berikut adalah 10 pandemik paling dahsyat dalam sejarah manusia.
1. Bubonik (Black Death)
Ia melanda Eropah pada 1346 hingga 1353 dan meragut kira-kira 75 hingga 200 juta nyawa. Wabak itu disebabkan oleh bakteria Yersinia pestis dan disebarkan melalui laluan perdagangan dan tikus diserang kutu.

Antara gejala penyakit ini ialah demam dan bengkak digelar buboes. Langkah kuarantin turut diperkenalkan pada masa itu berikutan tiada rawatan yang berkesan.
2. HIV/AIDS
Sejak kemunculannya di Republik Demokratik Congo pada 1976, ia telah membunuh kira-kira 36 juta orang sehingga awal 1980-an.
Virus tersebut menyerang sistem imun dan membawa kepada AIDS jika tidak dirawat. Dianggarkan 7.8 hingga lapan juta orang penghidap HIV di seluruh dunia.

Terapi antiretroviral (ART) telah mengubah HIV daripada diagnosis membawa maut kepada keadaan kronik yang boleh dikawal.
3. Selesema Sepanyol
Pandemik ini berlarutan dari 1918 hingga 1920 dan menjangkiti satu pertiga populasi dunia serta mengakibatkan kira-kira 50 hingga 100 juta kematian.
Ia disebabkan oleh virus influenza H1N1 dan merebak dengan cepat ketika pergerakan askar semasa Perang Dunia Pertama.

Langkah pengasingan dan kuarantin dilaksanakan pada masa itu manakala vaksin hanya dihasilkan selepas pandemik itu berakhir.
4. Wabak Justinian
Ia muncul ketika Empayar Rom Timur sekitar 541 Masihi, dipercayai berpunca daripada bakteria Yersinia pestis.
Dianggarkan antara 25 dan 100 juta maut akibat wabak tersebut dan populasi Constantinople paling teruk terjejas. Ia merebak melalui kutu pada tikus dan gejalanya sama seperti wabak bubonik.

Pandemik itu berulang selama beberapa abad berikutan tiada antibiotik yang berkesan pada masa tersebut.
5. Covid-19
Wabak ini bermula pada Disember 2019 dan pertama kali dikenal pasti di Wuhan, China. Ia disebabkan oleh virus SARS-CoV-2 dan dipercayai berasal daripada kelawar.

Sehingga akhir 2024, pandemik itu telah meragut lebih tujuh juta nyawa, namun angka sebenar dipercayai jauh lebih tinggi.
Ia menular seluruh dunia dan menyaksikan perintah lokcdown dan langkah kesihatan awam dilaksanakan bagi mengekang wabak itu.
6. Wabak Antonine
Ia turut dikenali sebagai wabak Galen dan muncul semasa pemerintahan Maharaja Marcus Aurelius pada 165 Masihi.
Wabak dahsyat ini telah mengakibatkan kira-kira lima juta kematian di seluruh Empayar Rom.

Gejalanya termasuk demam cirit-birit yang teruk, keradangan tekak dan kemunculan bintik-bintik seperti cacar.
Ketiadaan rawatan berkesan seperti antibiotik atau vaksin menyumbang kepada kadar kematian yang tinggi.
7. Selesema Asia
Wabak ini berlarutan selama dua tahun dari 1956 disebabkan oleh virus H2N2 berasal dari China. Kematian seluruh dunia dianggarkan mencecah satu hingga empat juta orang.

Virus itu muncul daripada mutasi strain avian dan merebak dengan cepat di seluruh Asia sebelum menyerang Amerika Utara serta Eropah.
Penghasilan vaksin dapat mengawal penularannya pada akhir 1957 selain melaksanakan langkah pengasingan terhadap pesakit.
8. Pandemik kolera ketiga
Ia bermula pada 1852 hingga 1860 dan melanda India sebelum merebak ke seluruh dunia hingga mengakibatkan lebih sejuta kematian.

Wabak ini berpunca daripada bakteria Vibrio cholerae yang berjangkit melalui sumber air tercemar.
Penularannya mendedahkan kegagalan kesihatan awam berkaitan sistem sanitasi dan bekalan air. Pilihan rawatan termasuk terapi rehidrasi, namun antibiotik tidak digunakan secara meluas.
9. Selesema Rusia
Pandemik ini melanda antara 1889 dan 1890 dan menyebabkan kira-kira sejuta kematian di seluruh dunia.
Ia dipercayai berpunca oleh koronavirus manusia OC43 dan merebak dengan cepat ketika peningkatan rangkaian perjalanan semasa era revolusi industri.

Gejalanya serupa dengan strain selesema moden dan pihak berkuasa turut melaksanakan langkah pengasingan memandangkan tiada vaksin efektif dihasilkan pada masa itu.
10. Selesema Hong Kong
Wabak ini melanda pada 1968-69 dan disebabkan oleh virus influenza H3N2. Dianggarkan, kira-kira sejuta kematian direkodkan di seluruh dunia.

Ia berasal dari Hong Kong sebelum merebak ke seluruh dunia dalam tempoh beberapa bulan. Simptomnya sama seperti selesema bermusim.
Kempen vaksinasi dilancarkan sebagai sebahagian daripada tindak balas kesihatan awam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

