Kebakaran dahsyat dalam sejarah California

LOS ANGELES - Pelakon, pemuzik dan beberapa selebriti lain antara tersenarai puluhan ribu penduduk terjejas akibat kebakaran hutan yang membawa maut di Los Angeles pada Rabu lalu.
Ibu kota pusat perniagaan dan hiburan telah dikepung kebakaran di luar kawalan dan pada masa sama acara Hollywood termasuk pertunjukkan anugerah dan tayangan perdana filem, Pamela Anderson turut dibatalkan atas sebab api marak.

Ratusan rumah dilaporkan musnah di kawasan Pacific Palisades, lokasi kegemaran selebriti di untuk membeli rumah bernilai jutaan dolar di sana.
Mandy Moore, penyanyi dan pelakon This Is Us, memberitahu pengikut di Instagram, dia telah melarikan diri bersama anak-anak dan haiwan peliharaannya dari laluan kebakaran yang telah menyebabkan kawasan kejiranan Altadenana menjadi 'rata'.
“Rumah idaman saya habis. Saya pasrah dan kecewa kerana kita telah kehilangan harta benda yang terlalu banyak. Saya benar-benar pasrah,” tulisnya, dalam ciapan rakaman video kebakaran itu

Pelakon yang pernah memenangi anugerah Emmy, James Woods menyiarkan video di X menunjukkan api menyambar pokok dan kawasan semak berhampiran rumahnya di Pacific Palisades ketika dia bersiap sedia untuk berpindah dan tidak lama selepas itu, beliau berkata semua penggera kebakaran berbunyi.
“Saya tidak percaya rumah kecil kami yang indah di atas bukit yang dibina selama ini musnah. Saya rasa seperti kehilangan orang tersayang,” kata Woods.
Pelakon filem Star Wars, Mark Hamill memberitahu pengikut di Instagram bahawa dia bersama isteri dan anjing peliharaannya telah meninggalkan rumahnya di Malibu.

Pelakon pemenang Emmy, Billy Crystal pula berkata, rumahnya di Pacific Palisades yang didiaminya dan isterinya selama 46 tahun terbakar sepenuhnya pada hari Rabu.
Sementara itu, pemenang anugerah Oscar, Jamie Lee Curtis juga berkata beliau terpaksa berpindah ke kawasan selamat dan kemudian menulis di Instagram sambil menjelaskan semua kawasan kejiranannya sudah musnah.

Dalam pada itu, pihak berkuasa melaporkan sekurang-kurangnya 10 orang terkorban ketika anggota bomba sedang berusaha mengawal kebakaran yang kini semakin teruk dan menyebabkan ribuan kehilangan tempat tinggal.
Kini, operasi mengawal kebakaran telah dipergiatkan termasuk menggunakan bantuan helikopter yang menjatuhkan air di atas kawasan api sedang marak.
Menurut pasukan bomba, kebakaran hutan tersebut telah memusnahkan hampir 8,093 hektar di kawasan kejiranan mewah Pacific Palisades manakala satu lagi kebakaran di sekitar Altadena telah meratakan 5,139 hektar selain lebih 5,300 struktur binasa sepenuhnya.

Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden memberitahu taklimat Rumah Putih bahawa beliau telah menjanjikan dana dan sumber Persekutuan untuk membantu negeri itu menghadapi kebakaran paling dahsyat dalam sejarah California. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
