Tiada kes Covid-19 di Iskandar Puteri: JKNJ

Gambar kecil: Dr Aman Rabu.
Gambar kecil: Dr Aman Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) hari ini menafikan terdapat kes jangkitan koronavirus (Covid-19) di Iskandar Puteri di sini seperti yang tular dalam laman sosial Facebook.

Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr Aman Rabu yang menafikan perkara itu berkata, Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru telah menerima laporan kes disyaki dan kemudian membuat siasatan di lokasi berkenaan, namun tiada kes Covid-19 dikenal pasti di kawasan itu.

Dalam kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook JKNJ hari ini, beliau meminta orang ramai agar tidak menyebarkan berita tidak sahih seumpama itu kerana ia akan mengakibatkan situasi panik dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, penyebar berita palsu seperti itu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi tempoh setahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Terdahulu, tular di dalam laman Facebook hantaran (posting) dari dua akaun yang meminta warga Johor Bahru berjaga-jaga dan memakai topeng muka apabila keluar rumah dengan mendakwa satu kes Covid-19 berlaku di Iskandar Puteri. - Bernama

Artikel Berkaitan: