Operasi rangkaian hotel TH diteruskan di bawah pengurusan baharu

Ibu Pejabat Lembaga Tabung Haji (TH)
Ibu Pejabat Lembaga Tabung Haji (TH)
A
A
A

SHAH ALAM - Operasi empat rangkaian hotel Tabung Haji (TH) yang telah dipindahmilik kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJ) akan diteruskan di bawah UJ Property Management Sdn Bhd (UJPM) iaitu anak syarikat milikan penuh pengurusan baharu itu.

TH dan UJ dalam kenyataan bersama hari ini berkata, hotel terbabit ialah TH Hotel Kota Kinabalu, TH Hotel Bayan Lepas, TH Hotel & Convention Centre Alor Setar dan TH Hotel & Convention Centre Kuala Terengganu itu juga kekal sebagai hotel patuh syariah dengan nama baharu iaitu Hotel Raia mulai 1 April ini.

"UJPM akan mengambil alih operasi keempat-empat hotel tersebut yang sebelum ini di bawah seliaan TH Hotel and Residence Sdn Bhd (THHR) bermula 1 April 2020.

"Untuk makluman, tiada kakitangan THHR akan diberhentikan. Seramai 90 peratus daripada kakitangan THHR akan terus bekerja di rangkaian Raia Hotel manakala 10 peratus kakitangan hotel akan diserap oleh THHR Kelana Jaya.

"Selain itu, 90 peratus kakitangan yang terlibat juga akan menerima saguhati berdasarkan sumbangan mereka sepanjang tempoh perkhidmatan di THHR," katanya.

Mengulas lanjut, kenyataan itu berkata, penubuhan UJPM yang diterajui Muhammad Solleh Ramli merupakan salah satu langkah untuk memastikan kesinambungan pekerjaan serta operasi hotel memandangkan aset-aset hotel di bawah milikan TH telah berpindah milik kepada UJ pada Disember 2018 tanpa berlaku perpindahan pengurusan dan kakitangan hotel.

Katanya, semua hotel itu adalah sebahagian daripada pemindahan aset yang terdiri daripada 29 aset hartanah, satu syarikat tidak tersenarai dan pegangan ekuiti yang mempunyai nilai semasa sebanyak RM9.63 bilion pada hari pemindahan.

"Pengambilalihan operasi dan perkhidmatan rangkaian hotel oleh UJPM merupakan sebahagian daripada Pelan Pemulihan Semula dan Penstrukturan TH.

Artikel Berkaitan:

"Langkah pengambilalihan operasi hotel adalah langkah yang perlu diambil oleh UJ bagi memenuhi mandat yang telah diberikan oleh kerajaan bagi mengurangkan komitmen kerajaan," katanya.

Jelas kenyataan itu lagi, TH akan sentiasa menjaga kebajikan kakitangan yang terlibat demi kelangsungan karier mereka pada masa hadapan.

Terdahulu, tular di media sosial sepucuk surat bertarikh 17 Februari 2020 daripada TH Hotel & Residences Sdn Bhd (THHR) mengenai penutupan operasi empat hotel berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pas tuntut penjelasan kerajaan empat hotel TH ditutup: Tuan Ibrahim

Hari ini, Pas menuntut penjelasan daripada pengurusan tertinggi Lembaga Tabung Haji (LTH), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) dan Menteri Kewangan berhubung penamatan operasi serta perkhidmatan hospitaliti bagi empat rangkaian hotel di bawah kumpulan TH Hotel & Residence Sdn Bhd.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas meminta justifikasi kukuh berhubung perkara itu.

“Kerajaan gagal mengemukakan jawapan konkrit berhubung transaksi penjualan meragukan dua syarikat subsidiari dan aset ladang kelapa sawit milik TH Plantations Berhad bulan lalu.

“Kini LTH pula akan menamatkan operasi empat aset komersial milik TH Hotel & Residence kerana bangunan hotel tersebut didakwa telah diambil alih oleh SPV milik Kementerian Kewangan iaitu Urusharta Jemaah Sdn Bhd.

“Tindakan ini menunjukkan semua aset di bawah pemilikan LTH yang diserahkan kepada UJSB akan terbuka untuk dipindahmilik kepada pihak lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Pas turut bimbang dengan nasib semua aset hartanah LTH bernilai RM1.4 bilion (nilai buku) yang telah dipindahkan kepada UJSB antaranya tanah TRX KL (RM196 juta), Platinum Park (RM486 juta) dan tanah Presint 4 Putrajaya (RM92 juta).

“Adakah keempat-empat hotel tersebut mengalami masalah kewangan yang serius? Adakah ia akan diambil alih oleh UJSB atau dijual kepada pihak lain?

“Apakah sebenarnya makna pemulihan jika aset-aset LTH milik umat Islam boleh dipindah milik kepada pihak lain dengan sewenang-wenangnya?” soal Tuan Ibrahim dalam kenyataan itu.