X

Kindly register in order to view this article
!

Pas tuntut penjelasan kerajaan empat hotel TH ditutup: Tuan Ibrahim

Tuan Ibrahim
A
A

SHAH ALAM – Pas menuntut penjelasan daripada pengurusan tertinggi Lembaga Tabung Haji (LTH), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) dan Menteri Kewangan berhubung penamatan operasi serta perkhidmatan hospitaliti bagi empat rangkaian hotel di bawah kumpulan TH Hotel & Residence Sdn Bhd.

Gesaan itu dibuat berikutan surat bertarikh 17 Februari 2020 daripada TH Hotel & Residences Sdn Bhd (THHR) yang tular di media sosial dan mengejutkan ramai pihak.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas meminta justifikasi kukuh berhubung perkara itu.

“Kerajaan gagal mengemukakan jawapan konkrit berhubung transaksi penjualan meragukan dua syarikat subsidiari dan aset ladang kelapa sawit milik TH Plantations Berhad bulan lalu.

“Kini LTH pula akan menamatkan operasi empat aset komersial milik TH Hotel & Residence kerana bangunan hotel tersebut didakwa telah diambil alih oleh SPV milik Kementerian Kewangan iaitu Urusharta Jemaah Sdn Bhd.

“Tindakan ini menunjukkan semua aset di bawah pemilikan LTH yang diserahkan kepada UJSB akan terbuka untuk dipindahmilik kepada pihak lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Pas turut bimbang dengan nasib semua aset hartanah LTH bernilai RM1.4 bilion (nilai buku) yang telah dipindahkan kepada UJSB antaranya tanah TRX KL (RM196 juta), Platinum Park (RM486 juta) dan tanah Presint 4 Putrajaya (RM92 juta).

“Adakah keempat-empat hotel tersebut mengalami masalah kewangan yang serius? Adakah ia akan diambil alih oleh UJSB atau dijual kepada pihak lain?

“Apakah sebenarnya makna pemulihan jika aset-aset LTH milik umat Islam boleh dipindah milik kepada pihak lain dengan sewenang-wenangnya?” soal Tuan Ibrahim dalam kenyataan itu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus