Cedera parah dihentak penyamun dengan topi keledar

No Image Caption
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang penjaga parkir cedera parah selepas dipukul dengan topi keledar sebelum disamun dua lelaki di Lorong Abu Siti di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira 7.30 petang itu, mangsa yang berusia 56 tahun ditemui oleh orang awam dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri di tepi longkang.

Difahamkan salah seorang daripada suspek memeluk mangsa dari belakang manakala seorang lagi bertindak memukulnya sebelum merampas beg silang mangsa berisi wang tunai dan telefon bimbit.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, mangsa didatangi dua individu bermotosikal yang kemudian menyerangnya menggunakan topi keledar.

"Mangsa kritikal selepas mengalami pendarahan otak akibat dihentak dengan topi keledar itu. Dia ialah warga Bangladesh tetapi mendapat taraf penduduk tetap dan sudah bekerja sebagai penjaga parkir selama 10 tahun.

"Dalam kejadian ini, mangsa kehilangan wang tunai RM500 dan sebuah telefon bimbit," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Soffian berkata, satu pasukan khas daripada pasukan Jenayah Berat (D9) sedang mengesan suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 397 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan: