Mangsa scam dirogol, dipukul dengan besi panas

Lina ketika berkongsi cerita dalam program Bilik Gelap: Kisah Di Sebalik Cerita episod satu yang bertajuk 'Nyawa Jadi Taruhan' anjuran Sinar Harian pada Jumaat.
Lina ketika berkongsi cerita dalam program Bilik Gelap: Kisah Di Sebalik Cerita episod satu yang bertajuk 'Nyawa Jadi Taruhan' anjuran Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Perasaan gembira apabila ditawarkan pekerjaan dengan gaji belasan ribu akhirnya bertukar menjadi peristiwa ngeri.

Mangsa scam pekerjaan, Lina bukan nama sebenar, 25, berkata, dia teruja menerima tawaran itu selepas ditawarkan empat kali selain faedah yang diterima sangat menarik.

Bagaimanapun, dia terpaksa merahsiakan pekerjaan tersebut daripada pengetahuan keluarga.

"Dulu saya pernah bekerja di Singapura tetapi diberhentikan akibat pandemik Covid-19. Saya cuba cari kerja lain dan waktu itu memang susah sehingga saya putuskan untuk balik ke Malaysia.

"Satu benda yang buat saya teruja terima kerja itu bila kawan sendiri beritahu gaji yang saya akan dapat belasan ribu sebulan. Itu tak termasuk komisen.

“Kos penerbangan saya, visa, penginapan semua ditanggung. Bila dengar macam itu, saya pun terima,” katanya ketika berkongsi cerita dalam program Bilik Gelap: Kisah Di Sebalik Cerita episod satu yang bertajuk 'Nyawa Jadi Taruhan' anjuran Sinar Harian pada Jumaat.

Kongsi Lina lagi, setelah berjaya melalui proses temu duga, dia diarahkan untuk pergi ke sebuah negara seperti yang diberitahu rakannya.

Setibanya di sana, kata Lina, dia dibawa ke satu bangunan besar, selain dipisahkan dengan rakannya dan diarahkan untuk terus memulakan kerja serta merta.

Ujar Lina lagi, dia dikerah dan tidak mempunyai rehat serta sukar untuk meminta kebenaran pergi ke tandas dan makan.

“Saya diajar cara untuk lakukan pemindahan duit dan selepas itu saya kena pindahkan duit dari akaun Malaysia ke negara lain. Kalau tidak akaun bank tersebut akan disekat.

“Pada hari pertama saya dalam latihan, saya memang rasa tidak kena. Masa itu tidak boleh nak buat apa, jadi teruskan kerja.

“Memang fikiran saya setiap hari nak keluar dari tempat itu. Tetapi memang susah sebab saya macam dijaga. Ada mata-mata yang perhati,” ujarnya.

Tambah Lina, keadaan semakin teruk sehingga dia nekad untuk lari namun tindakan itu dikesan oleh pihak tersebut.

"Akibatnya, saya diletakkan di dalam bilik gelap yang dipenuhi tikus selama dua hari selain hanya diberikan nasi serta kuah sahaja. Saya diberikan amaran supaya tidak melakukannya lagi," katanya.

Tertekan dengan keadaan itu, dia sekali lagi mengambil keputusan meminta bantuan daripada seseorang yang dia percayai.

"Namun nasib tidak menyebelahi saya apabila individu itu merupakan pengintip atau mata-mata bos. Saya diseksa, dipukul dengan besi panas selain dirogol.

"Ketika itu saya rasakan peluang untuk hidup tipis. Mereka kata kalau saya keluar dari bilik itu, saya perlu bayar RM50,000. Mana saya ada duit.

“Sehinggalah suatu malam, saya keluar senyap-senyap dan nampak kawan. Saya berjaya (keluar)selepas tentera selamatkan. Rupanya sudah 37 hari saya berada di situ. Alhamdulillah, saya bersyukur dapat jumpa semula keluarga," ujarnya.

Lina turut menasihati orang ramai supaya tidak terlalu mudah percaya dengan ajakan orang atau iklan yang disiarkan di media sosial.

“Kalau nak, siasat dulu betul atau tidak. Nak patah balik (keluar) itu memang susah,” ujarnya.