180 tabika, taska Kemas di Kelantan terjejas banjir
TUMPAT - Sebanyak 180 premis Taman Bimbingan Kanak-kanak (tabika) dan Taman Asuhan Kanak-kanak (taska) milik Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di negeri ini terjejas akibat ditenggelami banjir gelombang pertama, bulan lalu.
Pengarah Kemas Kelantan, Wan Norlee Wan Ismail, berkata, tabika dan taska terkesan terbabit melibatkan kira-kira 8,000 murid dan 400 kakitangan di keseluruhan daerah kecuali Gua Musang.
“Paling teruk terjejas premis-premis kami di tiga daerah iaitu Tumpat, Pasir Mas dan Rantau Panjang.
“Ketinggian banjir itu melepasi 1.5 meter manakala keadaan di Teluk Jering, Tumpat ini paras air hingga di bahagian bumbung tabika Kemas atau kira-kira tiga meter,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kampung Teluk Jering di sini pada Rabu.
Beliau sebelum itu bersama 50 warga Kemas menyertai Skuad Ihsan Madani Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dalam misi pasca banjir bagi membersihkan tiga kampung serta sembilan premis terjejas banjir di daerah itu.
Turut hadir, Pengarah KKDW Kelantan, Nasrul Haqiim Mohd Nasir yang merasmikan program berkenaan.
Menurut Wan Norlee, jumlah kerugian dialami akibat bencana itu belum dapat dipastikan kerana pihaknya masih lagi mengumpul maklumat kerosakan-kerosakan bangunan mahupun peralatan dan perabot yang tenggelam air.
Bagaimanapun, katanya, kerja-kerja pembersihan premis-premis terjejas sudah dimulakan lebih awal membolehkan sebahagian tabika dapat beroperasi semula manakala selebihnya yang belum beroperasi melaksanakan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian.
“Kami dah mulakan gerak kerja untuk gotong-royong lebih awal dan fokus hari ini di Tumpat kerana ada 31 tabika yang terjejas di kawasan ini.
“Semalam kami berada di Rantau Panjang dan Pasir Mas untuk bantu kerja-kerja pembersihan tabika,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!