MAIK salur sumbangan kepada masjid, surau terjejas banjir di mukim Derang
POKOK SENA - Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) menyalurkan sumbangan kewangan kepada masjid dan surau di mukim Derang yang terjejas akibat banjir berlaku baru-baru ini.
Menurut MAIK dalam satu kenyataan, Masjid Raudhatus Solihin Kampung Bukit menerima sumbangan daripada Tabung Bencana Alam MAIK sebanyak RM35,000 manakala Surau Niamat Madrasah Tarbiah Islamiah Derang sumbangan kewangan sebanyak RM10,000.
"Masjid Raudhatus Solihin Kampung Bukit mengalami pelbagai kerosakan antaranya melibatkan pagar, sistem siaraya, khemah, mesin air, meja dan kerusi plastik, platform tempat mengajar dan kerusi mimbar, pam air dan sebagainya.
"Jenis kerosakan bencana banjir dialami oleh Surau Niamat Madrasah Tarbiah Islamiah Derang pula meliputi karpet, rak al-Quran, kipas berdiri, sistem siaraya, pendingin hawa, mesin air, platform dan lain-lain," katanya pada Jumaat.
MAIK berharap agar bantuan yang disalurkan ini dapat membantu meringankan beban pihak masjid dan surau yang terjejas.
"Semoga dengan bantuan ini aktiviti masjid dan surau dapat diteruskan seperti biasa," katanya.
Pada Khamis, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin yang juga Yang Dipertua MAIK berkenan menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Bencana Banjir kepada Masjid dan Surau di Kedah di Masjid Lutfi Kampung Suka Menanti.
Pada majlis itu, sebanyak 11 masjid dan enam surau telah dikenal pasti terjejas akibat bencana banjir melanda daerah Kota Setar, Pokok Sena, Kubang Pasu, Padang Terap dan Sik melibatkan sumbangan kewangan keseluruhan RM249,000 melalui Tabung Bencana Alam MAIK.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!