Peniaga asing di Plaza Sri Muda guna lesen peniaga tempatan

Video tular keadaan warga asing beroperasi Plaza Sri Muda.
Video tular keadaan warga asing beroperasi Plaza Sri Muda.
A
A
A

SHAH ALAM - Warga asing yang masih beroperasi di Plaza Sri Muda dipercayai berniaga menggunakan lesen peniaga tempatan secara 'ali baba'.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim berkata, semakan mendapati kesemua pemegang lesen di sana merupakan warga tempatan yang ada antaranya bertindak menyewakan tapak mereka kepada warga asing.

Menurutnya, ketika ini operasi perniagaan di plaza terbabit ditutup sementara susulan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sedang melaksanakan operasi pemutihan lesen.

"Di Sri Muda terdapat dua pasar iaitu Plaza Sri Muda serta Pasar Moden Sri Muda dan yang menjadi isu adalah di Plaza Sri Muda.

Tapak niaga peniaga tempatan kosong selepas MBSA menutup sementara operasi niaga di sana untuk laksana semakan lesen niaga.
Tapak niaga peniaga tempatan kosong selepas MBSA menutup sementara operasi niaga di sana untuk laksana semakan lesen niaga.

"MBSA telah mengambil tindakan menutup sementara operasi di sana untuk membuat pembersihan dan semakan terhadap pemegang lesen.

"Selepas tapisan selesai, barulah dibenarkan peniaga-peniaga ini berniaga semula, tetapi hanya untuk warga tempatan," katanya mengulas isu tular babitkan aktiviti perniagaan warga asing beroperasi di Plaza Sri Muda yang tular di media sosial pada Ahad.

Beliau ditemui semasa mengadakan sidang akhbar berkenaan pelaksanaan penilaian semula cukai taksiran pihak berkuasa tempatan (PBT) Selangor di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Menerusi video tular itu, perakam memberitahu warga tempatan berlesen tidak dibenarkan berniaga namun keadaan di lokasi menunjukkan terdapat warga asing menjalankan perniagaan di sana.

Individu tersebut mempersoalkan aspek undang-undang dan penguatkuasaan yang diguna pakai selain membangkitkan isu wujud unsur rasuah susulan warga asing dilihat masih berniaga di lokasi tersebut.

Menerusi rakaman sama, turut dipaparkan tapak niaga peniaga tempatan kosong selepas arahan penutupan operasi dikeluarkan MBSA.

Suee Lim berkata, peniaga tempatan yang dikesan terlibat aktiviti 'ali baba' berdepan tindakan lesen perniagaan dibatal dam disenarai hitam.

"Jika PBT kesan ada pelanggaran syarat, lesen tersebut boleh dibatalkan. Di Sekinchan terdapat tiga peniaga yang diambil tindakan lesen niaga mereka dibatalkan.

"Aktiviti itu berlaku kerana sikap orang tempatan yang apabila dapat gerai kemudian disewa kepada warga asing kerana dapat pulangan tinggi.

" Mereka banyar sewa RM300 sebulan kepada PBT tapi sewa kepada orang asing RM1, 000 sebulan, jadi dapat pulangan lumayan. Jika kita kesan, lesen mereka akan ditari dan berdepan tindakan disenarai hitam," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!