PGA rampas produk kosmetik diseludup dari Thailand

Produk kosmetik yang dirampas di pangkalan haram Pejal, Pengkalan Kubor, Tumpat (gambar kiri) dan di tepi Sungai Golok berhampiran pangkalan haram Pak Teh Kana, Jeram Perdah, Rantau Panjang.
Produk kosmetik yang dirampas di pangkalan haram Pejal, Pengkalan Kubor, Tumpat (gambar kiri) dan di tepi Sungai Golok berhampiran pangkalan haram Pak Teh Kana, Jeram Perdah, Rantau Panjang.
A
A
A

KOTA BHARU - Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas pelbagai barangan kosmetik bernilai RM117,000 yang ditinggalkan di dua buah pangkalan haram dalam kejadian berasingan pada Ahad.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, semasa melakukan rondaan rutin di sempadan pada jam 10 pagi anggota Batalion 8 PGA Pengkalan Chepa telah ternampak seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan berhampiran pangkalan haram Pejal, Pengkalan Kubor, Tumpat.

"Menyedari kehadiran anggota, lelaki berkenaan telah melarikan diri dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat beberapa kotak yang mengandungi produk kosmetik dipercayai dari Thailand ditemukan tanpa dokumen yang sah.

"Produk kosmetik yang bernilai RM26,600 ini dipercayai untuk diseludup masuk ke pasaran tempatan dan kesemua barangan rampasan dibawa ke Komtak (Kompeni Taktikal) Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Menurut beliau, pada jam 11.30 malam Batalion 7 PGA Kuantan ternampak sekumpulan lelaki dalam keadaan mencurigakan di tepi Sungai Golok berhampiran pangkalan haram Pak Teh Kana, Jeram Perdah, Rantau Panjang.

Ujarnya, kesemua suspek telah melarikan diri setelah menyedari kehadiran anggota penguat kuasa.

Nik Ros Azhan memberitahu, hasil pemeriksaan mendapati lebih 452 kotak produk kosmetik dipercayai dari Thailand ditemukan tanpa dokumen yang sah.

Beliau berkata, anggaran nilai rampasan keseluruhan bernilai RM90,400 dan kesemua barangan rampasan dibawa ke Komtak Jeram Perdah untuk tindakan selanjutnya.

Artikel Berkaitan:

"Kedua-dua kes disiasat bawah Seksyen 7(1)(E) Peraturan Kawalan Dadah Dan Kosmetik 1984," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!