Tiada bantahan larangan guna pangkalan haram di Sungai Golok - Saifuddin
TUMPAT - Kerajaan tidak menerima sebarang bantahan terhadap usaha larangan rentas sempadan Malaysia-Thailand melalui pangkalan haram di Sungai Golok sejak dikuatkuasakan 1 Disember lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, larangan berkenaan akan diteruskan untuk semua penduduk kedua-dua negara.
"Setakat ini tidak ada (bantahan) dan kita akan teruskan seperti yang dijadualkan," katanya selepas mendengar taklimat Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat ketika lawatan dan tinjauan mangsa banjir di sini pada Jumaat.
Media sebelum ini melaporkan, kerajaan akan menguatkuasakan undang-undang mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen yang tidak lagi membolehkan orang ramai melalui pangkalan haram.
Jika didapati bersalah mereka akan dikenakan denda sehingga RM10,000
Ketika ditanya mengenai beberapa suspek warga Malaysia disyaki terbabit sindiket penipuan pelaburan susulan tangkapan dua rakyat Malaysia di Thailand, Saifuddin memberitahu, pihaknya belum menerima sebarang laporan.
"Kita belum menerima sebarang permohonan tetapi akan memberi maklum balas," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!