Papan berpotensi diiktiraf tapak warisan dunia UNESCO
BATU GAJAH - Pekan Papan yang wujud kurun ke-18 berpotensi dicadangkan sebagai salah satu tapak warisan dunia yang diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).
Ahli Lembaga Eksekutif Majlis Antarabangsa bagi Monumen dan Tapak Warisan (ICOMOS) Malaysia, Dr Goh Ai Tee berkata, pekan perlombongan bijih timah tertua di Lembah Kinta itu mempunyai latar belakang sejarah dan nilai warisan sebelum Kemerdekaan.
"Papan suatu ketika dahulu merupakan sebuah bandar penting dengan memiliki sokongan ekonomi kuat hingga menarik komunis yang sering mengganggu penduduk.
"Industri perlombongan bijih timah kemudiannya merosot pada tahun 1970-an dan 1980-an dan pekan ini tidak lagi membangun dalam tempoh 50 tahun yang lalu.
"Bagi UNESCO, kita perlu memilih contoh terbaik untuk mewakili (Malaysia) dan Papan adalah salah satu wakil bagi kampung baru dalam sebuah bandar lama," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.
Ai Tee yang juga merupakan pengerusi kumpulan kerja kampung baru ICOMOS berkata, selama tiga tahun pihaknya mengusahakan senarai kampung baru yang mempunyai warisan budaya tersendiri.
Tambahnya, perkara itu telah dimaklumkan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) awal tahun ini.
"Kira-kira 82 peratus kampung baru dihuni oleh masyarakat Cina tetapi terdapat juga masyarakat lain berikutan zaman Darurat, pihak British memberikan tanah kepada penduduk untuk membina rumah mereka sendiri.
"Masyarakat Cina dan Melayu membina rumah dengan seni bina tersendiri dan ini adalah identiti yang boleh dilihat di kampung baru," katanya.
Sementara itu, Ketua Kurator Imperial War Museum, Carl Warner berkata, pengalaman dan kenangan penduduk yang terjejas tahun 1950-an akan dikongsi dalam pameran 'Emergency Exits' di London, Oktober 2025.
"Pameran ini dirancang sejak beberapa tahun lalu tetapi kami sedar bahawa tiada maklumat yang tepat untuk menjadikannya pameran yang benar-benar menarik yang memaparkan kisah-kisah mengenai Darurat di Malaya, Kenya dan Cyprus yang kejadian-kejadian ini saling bertindih pada tahun 1950-an.
"Kita mempunyai koleksi cerita yang hebat dari sudut tentera British tetapi kami tidak mempunyai kisah penduduk yang terjejas jadi, kami menemubual penduduk baru yang berusia 80-an dan 90-an bagi mendengar pandangan dan kenangan mereka," katanya.
Papan yang dulu dikenali sebagai 'pekan hantu' kini mempunyai tarikan menarik antaranya Istana Billah yang didiami Raja Billah pada tahun 1875 hingga 1911.
Selain itu, lorong lukisan lantai, Galeri Warisan Papan, pokok banyan yang berakar di dinding, Masjid Papan serta Sybil Kathigasu Memorial antara tarikan perkampungan baru itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!