Menyamar kontraktor TM, curi kabel bawah tanah

Ahmad Sukarno (dua dari kiri) menunjukkan antara kabel yang dicuri kumpulan penjenayah yang tumpas dalam tangkapan pada 29 dan 30 November lalu.
Ahmad Sukarno (dua dari kiri) menunjukkan antara kabel yang dicuri kumpulan penjenayah yang tumpas dalam tangkapan pada 29 dan 30 November lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menyamar sebagai pekerja penyelenggaraan telekomunikasi dan berpura-pura sedang menjalankan kerja baik pulih antara taktik digunakan sekumpulan penjenayah ketika mencuri kabel milik Telekom Malaysia sekitar ibu kota.

Kegiatan itu bagaimanapun terbongkar menerusi tangkapan lima lelaki dipercayai ahli kumpulan berkenaan dalam serbuan sekitar Kuala Lumpur dan Selangor pada 29 dan 30 November lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pihaknya sebelum ini menerima laporan berkaitan kecurian kabel milik Telekom Malaysia di Jalan Lang Kuning, Kepong 29 November lalu.

Antara peralatan digunakan untuk mencuri kabel milik Telekom Malaysia.
Antara peralatan digunakan untuk mencuri kabel milik Telekom Malaysia.

"Siasatan dijalankan kemudian membawa kepada tangkapan lima lelaki tempatan berumur antara 19 hingga 52 tahun.

"Semakan lanjut dijalankan mendapati kesemua suspek itu memiliki pelbagai rekod lampau melibatkan jenayah," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada Jumaat.

Katanya, siasatan dijalankan mendapati kumpulan ini bergiat aktif sejak lima bulan lalu.

"Kegiatan mencuri kabel ini dilakukan di lokasi yang lengang selain ia dijalankan antara jam sekitar jam 4.30 hingga 6 pagi.

Artikel Berkaitan:

"Mereka ini berpakaian seperti pekerja penyelenggaraan dan berpura-pura sedang menjalankan kerja membaik pulih kabel milik Telekom Malaysia bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa," katanya.

Menurutnya, siasatan turut mendapati kabel yang dicuri itu akan dijual di kedai barangan lusuh.

"Tangkapan dijalankan turut merampas kabel tembaga TM sepanjang 220 meter, satu guni kabel tembaga seberat 840 kilogram serta peralatan yang digunakan untuk memotong kabel.

"Turut dirampas dua kenderaan dan enam telefon bimbit, keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai kira-kira RM150,000," katanya.

Ahmad Sukarno berkata, susulan kes itu empat suspek yang diberkas telah didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur pada 3 Disember lalu di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 414 Kanun Keseksaan.

"Seorang lagi suspek telah dibebaskan manakala seorang suspek lagi masih diburu dan dipercayai merupakan dalang kegiatan terbabit.

"Polis percaya dengan tangkapan dijalankan, tiga kes berkaitan kecurian kabel sekitar Sentul ini telah berjaya diselesaikan," katanya.

Tambahnya, orang ramai dinasihatkan agar melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa dan mematuhi undang-undang ditetapkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!