SAM gesa tangani isu longgokan sampah haram
PARIT BUNTAR - Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan terhadap isu longgokan sampah haram di Jalan Kampung Tepi Sungai Kerian atau Jalan Dennis Town di sini.
Presidennya, Meenakshi Raman berkata, tinjauan pihak mereka mendapati terdapat dua longgokan sampah berasingan di sepanjang laluan utama terbabit.
Menurut Meenakshi, pihaknya tidak menolak kemungkinan ia sudah berlarutan sekian lama berikutan terdapat bekas tapak longgokan sampah yang lama di kawasan tersebut.
"Kedua-dua longgokan sampah tersebut dipenuhi berbagai bahan buangan seperti plastik, kaca, kayu, botol, tilam selain timbunan bungkusan yang dipercayai kain terpakai.
"Kami turut melihat kesan pembakaran sampah di kawasan longgokan berhadapan rumah pam Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan pencawang elektrik Dennis Town 3," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.
Meenakshi turut menzahirkan rasa terkilan apabila aduan berkaitan isu tersebut tidak mendapat maklum balas daripada pihak berkaitan.
"Adakah JPS tidak mengambil peduli akan isu ini dengan melaporkan kepada pihak berkaitan atau kerana lokasi longgokan sampah ini berada jauh dari kawasan bandar.
"SAM telah menghantar salinan surat kepada pihak Majlis Daerah Kerian (MDK) namun sehingga kini tiada sebarang maklum balas yang diperolehi," katanya.
Jelas beliau, jika isu berkaitan sampah tidak ditangani ia akan memberi impak terhadap alam sekitar dan kesihatan awam.
"Pihak MDK, Pejabat Tanah dan Daerah Kerian, JPS, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pejabat Kesihatan serta Ahli Parlimen Parit Buntar perlu segera menyiasat perkara ini dan mengambil perhatian serius bagi mengatasi masalah pembuangan sampah yang berlaku.
"SAM berharap agar tindakan bersepadu dan tinjauan yang kerap perlu dilakukan selain lawatan lapangan juga perlu dilakukan agar individu yang sesuka hati membuang sampah akan was-was kerana kehadiran pihak berkuasa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!