70 Tahun Meniti Usia: Perjuangan Hussamuddin jadikan Karangkraf jalan jihad, bangunkan tamadun

Pengasas Greatness Consulting, Dr Legisan S Samtafsir berucap pada Majlis '70 Tahun Meniti Usia: Majlis Kesyukuran Legasi Haji Yaacub'
Pengasas Greatness Consulting, Dr Legisan S Samtafsir berucap pada Majlis '70 Tahun Meniti Usia: Majlis Kesyukuran Legasi Haji Yaacub'
A
A
A

SHAH ALAM - Kumpulan Karangkraf (Karangkraf) kini tidak terbatas sebagai sebuah entiti korporat yang menjalankan perniagaan untuk menjana pendapatan seluruh warganya, tetapi juga menjadi jalan jihad membangunkan tamadun dengan menyebarkan mesej tentang agama Islam.

Ia selari dengan mesej daripada Surah Al-Saff yang dibaca dan perdengarkan sempena majlis ulang tahun kelahiran pengasasnya, Datuk Hussamuddin Yaacub '70 Tahun Meniti Usia: Majlis Kesyukuran Legasi Haji Yaacub' di sini pada Khamis.

Pengasas Greatness Consulting, Dr Legisan S Samtafsir berkata, Surah Al-Saff dilihat mampu menjadi penghubung dalam semangat juang di Karangkraf yang dibangunkan sejak 47 tahun lalu, kerana ia menceritakan tentang perjuangan sebagai hamba dan juga khalifah ALLAH SWT.

Menurutnya, segala kejayaan yang dikecapi hari ini membuktikan usaha Hussamuddin yang digelar sebagai ayahanda, memulakan langkah setapak demi setapak sehingga Karangkraf mampu berdiri megah.

Majlis '70 Tahun Meniti Usia: Majlis Kesyukuran Legasi Haji Yaacub' dimulakan dengan bacaan ayat suci al-Quran.
Majlis '70 Tahun Meniti Usia: Majlis Kesyukuran Legasi Haji Yaacub' dimulakan dengan bacaan ayat suci al-Quran.

"Saya yakin, tidak ada pejuang yang berjaya dengan segera. Tidak ada yang mendatar, tapi semuanya adalah perjalanan yang mendaki... saya membayangkan bagaimana ayahanda menjalankan semua ini selama 47 tahun.

"Saya cuba menggali lagi di sebalik semua ini... hari ini Karangkraf sudah menjadi, hari ini karangkraf sudah hebat, sudah memberikan manfaat, tidak hanya untuk keluarganya tapi seluruh kakitangannya, bahkan keluarga kakitangan tersebut, untuk masyarakat, bangsa dan negara.

"Saya jumpa ayat beliau yang mahu Karangkraf menjadi institusi yang memberi impak kepada negara dan mahu jadikan Karangkraf bukan sekadar perniagaan. Ini kenyataan yang luar biasa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Legisan berkata, beliau cuba mencari-cari dan menyelami hati Hussamuddin.

"Saya cuba melihatnya... tidak lain, beliau ingin jadikan Karangkraf ini sebagai jalan dakwah... saya dengar, program Quran Hour sudah (ada) di lebih 70 negara. Subhanallah.

"Maksudnya, Karangkraf adalah jalan jihad untuk sebarkan mesej tentang agama Islam. Karangkraf menjadi jalan jihad untuk membangunkan tamadun, negara dan bangsa. Hari ini, ia menjadi kenyataan," katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Mengulas lanjut, Legisan berkata, kejayaan Karangkraf hari ini harus dipertahankan dengan berpaksikan semangat juang yang diaplikasikan oleh Hussamuddin iaitu beriman kepada ALLAH SWT, kepada Rasul-Nya dan berjihad dengan harta dan jiwa.

"Jika karangkraf tidak dikelola dengan semangat jihad seperti ayahanda menjalankannya, tidak ada yang dapat menjamin untuk ia terus bertahan.

"Kalau Karangkraf jatuh, bukan hanya ayahanda yang rugi, bukan hanya kita yang rugi, tapi seluruh umat, bangsa dan negara. Bahkan, perjalanan dakwah Islam akan terganggu," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sambutan ulang tahun tersebut menjadi sangat istimewa dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran diperdengarkan bersama semua peringkat pengurusan dan karyawan.

"Saya dah pergi mana-mana syarikat lain, tak ada ulang tahun syarikat, atau pemiliknya seperti ini membaca ayat al-Quran.

"Hari ini, Surah Al-Saff dibaca di Karangkraf di tengah-tengah para ketua, pengurus... ini sangat istimewa. Tahniah buat Karangkraf, Datuk Hussamuddin, keluarganya dan keluarga besar Karangkraf. Semoga Karangkraf terus berjaya dan diredai ALLAH SWT," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!