Jabatan Penjara cadang prospek diberi peluang bekerja dalam perlombongan REE

Ahmad Faudzi (tengah) menyaksikan Majlis Serah Tugas Pengarah Penjara Negeri Kedah di Dewan Serbaguna Penjara Pokok Sena pada Khamis.
Ahmad Faudzi (tengah) menyaksikan Majlis Serah Tugas Pengarah Penjara Negeri Kedah di Dewan Serbaguna Penjara Pokok Sena pada Khamis.
A
A
A

POKOK SENA - Jabatan Penjara Malaysia sedang meneroka bidang baharu di bawah program pemulihan dalam komuniti (PDK) bagi memberi peluang pekerjaan kepada prospek dalam bidang perlombongan unsur nadir bumi (REE).

Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pemasyarakatan), Ahmad Faudzi Awang berkata, pihaknya melihat peluang terbabit selepas Kedah bercadang untuk melombong REE pada tahun hadapan.

"Kita akan tengok perkembangan dari Kedah dan sekiranya perkembangan dari segi perlombongan itu berlaku, insya-ALLAH, saya rasa Jabatan Penjara akan menceburi bidang tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Serah Tugas Pengarah Penjara Negeri Kedah di Dewan Serbaguna Penjara Pokok Sena di sini pada Khamis.

Timbalan Komisioner Penjara, Rahmat Abdul Rani dilantik menjadi Pengarah Penjara Negeri Kedah baharu menggantikan Komisioner Penjara Zainah Pardi.

Ahmad Faudzi berkata, usaha tersebut merupakan tanggungjawab Pengarah Penjara Kedah baharu untuk melihat dan sentiasa mendapatkan maklumat yang terkini berhubung dengan bidang tersebut.

Beliau berkata, setakat ini, sebanyak 11 syarikat yang mendaftar untuk bekerjasama dengan Jabatan Penjara Kedah di bawah PDK.

Tambahnya, kira-kira 527 banduan dilepaskan secara Sistem Parol dan Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) yang bertugas ataupun bekerja di syarikat berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Faudzi memaklumkan, bilangan syarikat dari Kedah yang bekerjasama dengan Jabatan Penjara juga meningkat untuk menjayakan PDK tersebut.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya menyasarkan 10,000 prospek akan bekerja dalam komuniti pada 2025.

"Jadi, kita amat yakin dengan kerjasama dan juga penglibatan masyarakat ini, matlamat Jabatan Penjara untuk memastikan pengurangan kadar jenayah ini akan berlaku di Kedah, sekiranya mereka mempunyai pekerjaan dan juga diaturkan satu program pekerjaan yang khusus kepada mereka," katanya.

Pada 26 November lepas, Sinar Harian melaporkan kerajaan negeri akan memulakan perlombongan REE di sebuah tapak yang tidak melibatkan kawasan hutan simpan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tapak berkenaan merupakan tanah milik anak syarikat kerajaan negeri (GLC) dan akan diusahakan pada tahun depan.

Muhammad Sanusi memaklumkan perkara itu pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di sini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!