Hukuman pemandu mabuk: Pas saran mufti, Jakim beri pandangan

Gambar hiasan. (Gambar kecil: Tuan Ibrahim Tuan Man)
Gambar hiasan. (Gambar kecil: Tuan Ibrahim Tuan Man)
A
A
A

SHAH ALAM - Pas meminta jasa baik pihak mufti dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mengemukakan pandangan pindaan hukuman terhadap pemandu mabuk sehingga menyebabkan kecederaan dan kematian orang awam.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, setakat ini Kementerian Pengangkutan hanya memfokuskan kepada beberapa pindaan melibatkan Seksyen 41 dan Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu berkaitan hukuman denda serta penjara sahaja.

Menurutnya, Pas mahu pandangan yang lebih holistik dalam menyelesaikan isu ini termasuk daripada perspektif Islam kerana ia terkandung dalam aspek maqasid syariah dan penjagaan nyawa manusia.

“Justeru, pihak mufti dan Jakim boleh menawarkan cadangan berasaskan konteks yang lebih tepat. Contohnya, adakah pemandu mabuk yang melanggar mati orang awam dianggap membunuh dengan niat atau tanpa niat dalam konteks perundangan Islam? Adakah wajar pesalah yang menyebabkan kematian orang awam dikenakan hukuman bunuh juga?

“Pandangan tersebut amat penting kerana kerana ia boleh menjadi asas pertimbangan terhadap pindaan akta nanti. Setakat ini, hampir semua pihak bersetuju cadangan hukuman yang lebih keras perlu dikenakan terhadap pemandu mabuk, cuma jenis hukuman yang masih menjadi perbahasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, Pas turut berpendapat satu kajian yang menyeluruh termasuk cadangan penggunaan instrumen kewangan insurans dan takaful sebagai ganti rugi kepada pihak mangsa perlu dilakukan.

“Cuma, adakah perkara tersebut dibolehkan sebagai ganti bagi konsep diyat? Perkara ini perlu dibincangkan oleh pihak berautoriti dalam urusan agama seperti mufti dan Jakim.

“Sementara itu, Pas mahu supaya pindaan akta ini mesti dilakukan dalam sidang Dewan Rakyat bulan Mac ini dan tidak ditangguhkan lagi kerana tempoh masa kajian sudah cukup panjang manakala ini adalah isu yang sangat mendesak,” katanya.

Artikel Berkaitan: