X

Kindly register in order to view this article
!

Isteri orang, tiga beradik antara penagih ditahan

Tiga beradik yang ditahan AADK dalam operasi semalam.
A
A

KANGAR - Tiga beradik lelaki dan seorang wanita antara 10 ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Perlis dalam operasi di sekitar Kangar, Arau dan Kuala Perlis semalam.

Pengarah AADK Perlis, Azizah Ahmad berkata, pasangan adik-beradik berusia 18, 22 dan 24 tahun itu ditahan di rumah mereka di Kampung Sungai Berembang Kuala Perlis.

"Mereka mengaku mengambil dadah jenis syabu dan terjebak kerana ingin mencuba selepas dipengaruhi rakan. Dua daripada mereka pernah ditahan kerana memiliki dadah di bawah seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952

"Merka dipenjarakan di Pusat Koreksional Perlis selama enam bulan dan Penjara Sungai Petani selama sebulan," katanya.

Azizah berkata, hasil serbuan di rumah berlainan di kawasan Mata Ayer pula, pihaknya menahan seorang wanita berusia 37 tahun bersama rakan lelakinya.

"Kedua-dua mereka positif dadah jenis syabu dan hasil siasatan mendapati wanita tersebut masih berstatus isteri orang dan tidak tinggal bersama suaminya sejak suaminya mendapatkan rawatan pemulihan dari pihak AADK akibat dadah," katanya.

Tambah Azizah, wanita berkenaan sanggup bersekedudukan dengan lelaki berkenaan yang juga seorang penagih demi mendapatkan bekalan dadah.

"Dia mula terlibat dengan dadah sejak tahun 2012 akibat dari pengaruh suaminya.

"Empat orang anaknya yang terdiri daripada tiga lelaki dan seorang perempuan masing-masing berusia antara 7 hingga 18 tahun dijaga emak mertuanya," katanya.

Hasil operasi itu, sembilan lelaki dan seorang wanita ditahan.

Kesemua dibawa ke pejabat AADK Perlis sejurus selepas penahanan dan diambil tindakan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983 Pindaan 1998.