Lelaki tersedar ditipu selepas rugi RM2,640

Gambar hiasan. Gambar kecil: Mohd Wazir
Gambar hiasan. Gambar kecil: Mohd Wazir
A
A
A

KUANTAN - Seorang lelaki menyedari dirinya telah ditipu ahli sindiket pinjaman tidak wujud selepas pelbagai caj bayaran dikenakan terhadapnya bagi mendapatkan pinjaman RM50,000.

Akibat itu wang simpanan miliknya RM2,640.69 lesap selepas membuat dua transaksi bagi membayar caj yang dikenakan syarikat pinjaman tidak wujud sebelum tampil membuat laporan polis, Rabu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa menerima satu pesanan ringkas menerusi aplikasi WhatsApp daripada suspek pada minggu lalu yang menawarkan pinjaman peribadi.

"Mangsa kemudian bersetuju untuk membuat pinjaman peribadi sebanyak RM50,000 dan menyerahkan salinan kad pengenalan, salinan penyata cukai pendapatan dan salinan penyata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tujuan semakan kelayakan.

"Selepas tiga hari, mangsa dimaklumkan pinjaman diluluskan dan diminta untuk membuat bayaran guaman dan bayaran penilaian untuk mendapatkan wang pinjaman itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Wazir berkata, bagaimanapun pada Sabtu lalu, mangsa telah membuat pindahan wang ke dalam dua akaun berbeza berjumlah RM2,640.69.

Menurutnya, selepas itu, mangsa diminta membuat bayaran lagi sebanyak RM1,250, namun mangsa enggan.

"Mangsa merasa dirinya tertipu dan tampil membuat laporan di balai polis berdekatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 402 Kanun Keseksaan kerana menipu.