PKNK sumbang RM50,000 bantu 200 asnaf di Baling

Asnaf terpilih menerima Pek Raya bernilai RM50 sebagai persiapan Hari Raya Aidilfitri.
Asnaf terpilih menerima Pek Raya bernilai RM50 sebagai persiapan Hari Raya Aidilfitri.
A
A
A

BALING - Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) menyumbangkan RM50,000 bagi membantu 200 keluarga asnaf di daerah ini sempena Program Serahan Wakalah Zakat Perniagaan dan Majlis Iftar Jamaei PKNK di sini pada Khamis.

Program tersebut turut mendapat kerjasama daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah Cawangan Baling untuk mengenal pasti 200 asnaf melibatkan kariah Kampung Iboi, Kampung Tiak, Kampung Sadek dan Kampung Hangus.

Ketua Pegawai Pentadbiran dan Kewangan PKNK, Hakim Ariff Md Noor berkata, setiap asnaf yang terpilih menerima wang tunai RM200 dan Pek Raya bernilai RM50 sebagai persiapan Hari Raya Aidilfitri.

"Antara barangan yang terkandung dalam pek berkenaan adalah beras 5 kilogram (kg), beras pulut susu 1kg, santan, kerisik, gula, minyak dan lain-lain," katanya ketika berucap dalam majlis berkenaan di Masjid Al-Huda, Kampung Hanggus di sini pada Khamis.

Turut hadir, Pegawai Zakat Daerah Baling, Mustaqim Zainol Abidin,

Menurutnya, PKNK sentiasa di hadapan dalam membantu anak-anak yatim, asnaf fakir dan miskin, pelajar sekolah serta mereka yang memerlukan melalui saluran Agihan Wakalah Zakat Perniagaan PKNK.

"Melalui wakalah zakat ini, PKNK telah membantu lebih 1,000 keluarga sepanjang tahun lepas sehingga kini," katanya.