X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 19 Oktober 2021

Bekas menteri sangkal dakwaan terima habuan RM60 juta

mahdzir khalid kes rosmah
Antara laporan Sinar Harian berkaitan keterangan diberikan bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid untuk kes projek solar membabitkan isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid hari ini menyangkal dakwaan peguam Datuk Jagjit Singh yang mendakwa beliau menerima habuan berjumlah RM60 juta dan bersetuju memberikan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar itu kepada Jepak Holdings.

Mahdzir yang juga saksi kelima pendakwaan memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan, ketika pemeriksaan balas Jagjit Singh terhadapnya.

Antara dakwaan Jagjit ialah Mahdzir setuju memberikan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar itu kepada Jepak Holdings selepas ditawarkan habuan itu.

Jagjit berkata, Mahdzir meminitkan persetujuannya berkenaan projek berkenaan selepas pengarah urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin setuju memberikannya RM1 juta sebulan untuk lima tahun dan keseluruhannya berjumlah RM60 juta.

Jagjit turut mendakwa, Mahdzir menerima RM50,000 daripada pengarah urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin pada 2015.

ARTIKEL BERKAITAN: Mahdzir dakwa Najib cuma diam selepas mengadu diperlekeh

Rakaman 'can I advise you something' dimainkan pada kes Rosmah

Mahdzir yakin Rosmah bantu Jepak dapat projek tenaga solar

Jagjit juga memberitahu mahkamah bahawa Mahdzir bersengkokol dengan setiausaha UMNO Pekan, Datuk Ahmad Aazmey Abu Talib yang menerima kira-kira RM1.5 juta daripada Saidi atas bantuannya mendapatkan kontrak itu.

Mahdzir bagaimanapun menafikan semua dakwaan itu.

Mahdzir berkata, beliau hanya mengetahui mengenai Jepak mendapat projek itu dengan bantuan Aazmey namun langsung tidak tahu dakwaan pemberian berjumlah RM1.5 juta kepada Aazmey.

Perbicaraan rasuah terhadap isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datin Seri Rosmah Mansor, melibatkan dakwaan penyelewengan dana bagi projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak yang berlangsung Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini masuk hari keempat.

Mahdzir yang menjadi saksi pendakwaan kelima telah memberi keterangan sejak hari kedua pendengaran kes itu pada Khamis lalu.

Setakat ini beliau membuat beberapa pendedahan menggemparkan berkenaan bagaimana kontrak pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion diberi kepada Jepak Holdings Sdn Bhd, sebuah syarikat yang tiada pengalaman dalam bidang itu.

Semalam, Mahdzir berkata, beliau turut mengadu kepada Najib pada 2016 berkenaan kelakuan dua individu yang memperlekehkan beliau berkaitan dengan Jepak yang melobi projek itu.

Mahdzir berkata, beliau memaklumkan perkara itu kepada Najib tetapi bekas perdana menteri itu hanya berdiam diri.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!