X

Kindly register in order to view this article
!

Lelaki maut motosikal rempuh belakang lori

Motosikal mangsa terbabas akibat rempuhan berkenaan. Gambar kecil: Muhamad Fadhli
A
A

GUA MUSANG - Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut selepas motosikal dinaiki merempuh belakang lori di Kilometer 45, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di sini tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.35 tengah hari, mangsa, Muhamad Fadhli Abdul Rahim, 30, beralamat di Wakaf Bharu, Kelantan, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian dada, kepala dan putus tangan kanan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal jenis Kawasaki dari arah Kuala Krai menghala ke Gua Musang.

"Tiba di tempat kejadian, mangsa melanggar bahagian belakang sebelah kiri lori yang dipandu Mohd Mustapha Mat Daud, 54, yang sedang berhenti untuk masuk simpang ke kanan.

"Punca kemalangan dipercayai kecuaian mangsa yang menunggang motosikal dalam kelajuan tinggi sehingga tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang lori.

"Keadaan jalan lurus dua lorong sehala, garisan tengah berkembar, jalan berturap tar dan tidak ada kerosakan fizikal yang mempengaruhi pengguna jalan raya," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Bedah siasat dilakukan di Hospital Gua Musang pada jam 6.30 petang sebelum diserahkan kepada ahli keluarga untuk proses pengebumian.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!