Wanita bawa motosikal berkuasa tinggi maut terbabas

Motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan besi.
Motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan besi.
A
A
A

KAJANG - Seorang wanita maut setelah motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan dalam kejadian di Kilometer 15.3 Lebuhraya Cheras-Kajang di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian kira-kira jam 2.47 pagi.

"Mangsa berumur 36 tahun menunggang motosikal jenis Kawasaki Z1000 menghala dari arah Kepong menuju ke Sungai Long.

"Motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan besi yang berada di lebuh raya tersebut," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Katanya, kejadian mengakibatkan mangsa kecederaan parah pada bahagian muka.

"Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat," katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini bolehlah menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

"Selain itu, orang ramai turut boleh menghubungi terus Pegawai Penyiasat kes iaitu Inspektor Ammar Mohd Tahir di talian 018-2194013 bagi menyalurkan maklumat untuk membantu siasatan," katanya.