X

Kindly register in order to view this article
!

12 hospital KKM, makmal kesihatan siap sedia kesan jangkitan

Dr Noor Hisham
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 12 hospital Kementerian Kesihatan (KKM) dan Makmal Kesihatan Awam (MKA) seluruh negara telah dipertingkatkan dengan kapasiti membuat ujian ‘real time RT-PCR 2019-nCoV’ bagi mengesan koronavirus sejak 30 Januari lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, MKA berkenaan ialah Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) di Sungai Buloh, MKA Ipoh, MKA Kota Kinabalu, MKA Kota Bharu dan MKA Johor Bahru.

“Kapasiti ini juga diperluaskan bagi rangkaian makmal swasta melalui latihan berkaitan yang diadakan oleh pihak MKAK Sungai Buloh pada 6 Februari,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Noor Hisham berkata, pada peringkat awal, Unit Virologi Pusat Penyelidikan Penyakit Berjangkit, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) merupakan satu-satunya makmal yang terlibat secara langsung menjalankan ujian diagnostik mengesan koronavirus di Malaysia.

Pada 3 Januari, makmal berkenaan telah memulakan persediaan menghadapi sebarang kemungkinan penularan koronavirus di mana reagen untuk mengesan virus itu dengan menggunakan kaedah Conventional RT-PCR disediakan.

“Namun pada 11 Januari, ahli saintis dari China telah berkongsi maklumat genetik koronavirus di pangkalan data guna sama. Ini membolehkan pegawai dari Unit Virologi IMR mereka cipta urutan reagen yang dikenali sebagai ‘primers and probes specific for 2019-nCoV’ pada hari yang sama.

“Beberapa hari kemudian, Pertubuhan Kesihatan Sedunia juga telah mengeluarkan protokol untuk ujian real time RT-PCR 2019-nCoV dan protokol ini hampir sama seperti yang digunakan di IMR,” katanya.

Noor Hisham berkata, reagen untuk mengenal pasti koronavirus telah tiba ke makmal IMR pada 21 Januari dan pada masa sama pihak Pusat Perubatan Universiti Malaya telah berkongsi virus yang tergolong dalam famili yang sama dengan koronavirus nyahaktif, untuk digunakan sebagai kawalan positif.

“Pegawai daripada IMR telah berjaya menjalankan optimasi ujian real time RT-PCR 2019-nCoV pada 22 Januari dan reagen ini telah dibekalkan kepada MKAK Sungai Buloh pada 24 Januari untuk menguji sampel kontak di Johor yang membolehkan pengenalpastian kes pertama positif di kalangan kontak rapat.

“Pada 25 Januari pula, makmal IMR juga telah mengesan kes pertama positif bagi pesakit dalam siasatan (PUI),” katanya.

Beliau berkata, pada setiap hari (termasuk cuti umum) staf bertugas akan bersedia menerima sampel dari hospital seawal jam 7 pagi dan akan meneruskan ujian supaya keputusan dapat dikeluarkan dalam masa 24 jam.

“Namun kebanyakan keputusan ujian ini berjaya disiapkan lebih awal dari tempoh 24 jam tersebut,” katanya.

Menurutnya, hanya staf yang menjalani ujian kompetensi dan dilatih cara pemakaian peralatan perlindungan diri (PPE) dengan betul dibenarkan menjalankan ujian tersebut.

Secara ringkas katanya, staf akan menerima sampel dan merekodkan penerimaan dalam buku log.

"Seterusnya sampel ini dibawa ke makmal Biosafety Level 2 di mana staf yang memakai PPE akan memproses serta mengasingkan sedikit sampel klinikal untuk nyahaktif virus dan diteruskan dengan ujian real time RT-PCR 2019-nCoV," katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!