Pas pertahan usul percaya terhadap PM

Mohd Khairuddin
Mohd Khairuddin
A
A
A

SHAH ALAM – Pemimpin Pas menegaskan usul ‘percaya terhadap Perdana Menteri’ yang bakal dibawa oleh parti itu pada persidangan Dewan Rakyat bulan depan adalah bukanlah perkara sia-sia, membazir masa atau tidak mengikut peraturan.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, usul ini amat penting bagi memastikan kestabilan negara dan selaras dengan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat khususnya perkara 18 (1).

Katanya, selain itu usul ini bagi memastikan bahawa Perdana Menteri masih mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

“Selagi mana pada hemat Yang di-Pertuan Agong, seorang Perdana Menteri mungkin masih mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat mengikut perkara 43 (2) (a) perlembagaan negara, maka beliau akan kekal sebagai seorang Perdana Menteri.

“Mengikut perkara 43 (5) perlembagaan negara, Perdana Menteri juga boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong supaya membatalkan pelantikan mana-mana Menteri dan menggantikan mereka dengan Menteri-Menteri lain mengikut perkara 43 (2) (b).

“Apa yang paling penting adalah kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong dalam melantik seorang Perdana Menteri di bawah perkara 40 (2) (a) perlembagaan negara yang wajib diakui,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Mohd Khairuddin berkata, selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), pembentukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Perak, Sabah dan Kedah juga boleh dikira sebagai penubuhan mengikut ‘tingkap’ kerana tiada pemenang muktamad di negeri-negeri ini.

“Di Sabah, kedudukannya adalah 29 kerusi Warisan-PH dan 29 kerusi Barisan Nasional (BN) sehinggalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN menyeberang. Di Perak, kedudukannya adalah 29 kerusi PH, 26 kerusi BN dan 3 kerusi Pas sehinggalah ADUN BN menyeberang.

Artikel Berkaitan:

“Di Kedah, kedudukannya adalah 18 kerusi PH, 15 kerusi Pas dan 3 kerusi BN sehinggalah ADUN BN menyeberang,” katanya.

Mohd Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata, jika perubahan kerajaan yang melibatkan pertukaran ketua kerajaan sekalipun adalah dibenarkan oleh perlembagaan negara dan undang-undang negara maka apatah lagi perubahan kerajaan yang sama sekali tidak melibatkan pertukaran ketua kerajaan.

Semalam, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, segala keputusan dalam pembentukan kerajaan perlu mengikut sistem demokrasi dan tidak wujud istilah pintu depan mahupun belakang.

ARTIKEL BERKAITAN Pas fokus perkukuh Muafakat Nasional dengan UMNO