Pas fokus perkukuh Muafakat Nasional dengan UMNO

Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pas menegaskan tiada perbincangan dibuat mengenai penubuhan gagasan baharu politik digelar Pakatan Nasional sehingga ke hari ini.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas akan bersama UMNO dalam membuat apa-apa keputusan berhubung dengan Muafakat Nasional.

Menurutnya, Muafakat Nasional akan diperkukuhkan di peringkat negeri dan Parlimen selain mewujudkan jawatankuasa bersama Pas dan UMNO di peringkat akar umbi.

“Sehubungan dengan itu, pendirian parti adalah apa-apa perbincangan di luar daripada kedua-dua parti mesti dilihat dalam muafakat bersama.

“Pas akan bersama dengan UMNO walau apa jua keputusan dan bagi kita, memperkasakan agenda Muafakat Nasional ini menjadi keutamaan bagi parti,” katanya selepas mesyuarat bulanan di Pejabat Agung Pas yang dipengerusikan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini.

Mesyuarat Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional akan diadakan pada 10 Februari di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang bakal dihadiri pemimpin utama Pas dan UMNO.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada perbincangan kerjasama dengan Bersatu

Pas secara dasar sokong pembentukan Pakatan Nasional

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Tuan Ibrahim menjelaskan Pas akan mengemukakan usul menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada persidangan Dewan Rakyat yang bermula bulan depan.

Katanya, Pas berpendapat usul terbabit perlu dikemukakan atas dasar kepentingan awam.

“Keputusan ini dibuat selepas negara digembar-gemburkan dengan rasa tidak puas hati terhadap Perdana Menteri tetapi tidak ada usul tidak percaya,” katanya.

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, semua 19 Ahli Parlimen Pas akan meneruskan sokongan terhadap kepimpinan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal Parlimen ke-14.

Katanya lagi, Pas yakin Barisan Nasional (BN) akan bersetuju dengan usul ini.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Saya sedia berdepan undi tidak percaya'