Thaipusam: Polis Perak beri jaminan tiada ancaman

Suressh Kumar menunjukkan panduan keselamatan kepada pengunjung sempena program High Profile Policing di Kuil Sri Subramaniar, Gunung Cheroh hari ini.
Suressh Kumar menunjukkan panduan keselamatan kepada pengunjung sempena program High Profile Policing di Kuil Sri Subramaniar, Gunung Cheroh hari ini.
A
A
A

IPOH - Polis Perak memberi jaminan tiada sebarang ancaman keselamatan sepanjang sambutan perayaan Thaipusam dengan menempatkan kira-kira 1,000 anggota bertugas di negeri ini.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Perak, Senior Asisten Komisioner S Suressh Kumar berkata, tindakan pencegahan jenayah telah dimulakan sejak seminggu lalu dengan memberi tumpuan lokasi sambutan secara besar-besaran iaitu di Ipoh, Sungai Siput, Tapah dan Taiping.

"Oleh kerana perayaan ini sinonim dengan agama, jadi kita nak pastikan ketenteraman awam dijaga sebaiknya dan mereka yang datang berasa selamat.

"Penugasan pencegahan ini turut dibantu agensi penguatkuasaan lain dan kami yakin, perayaan kali ini adalah 'zero' insiden," katanya pada sidang media sempena program High Profile Policing di Kuil Sri Subramaniar, Gunung Cheroh di sini hari ini.

Menurutnya, bagi mengelak kesesakan teruk, orang ramai diminta mematuhi peraturan disediakan khususnya bagi tujuan parkir kenderaan.

"Di Ipoh sahaja, seramai 700 anggota ditempatkan menjaga keselamatan awam bermula semalam hingga esok sepanjang tempoh itu kita harap penganut dan masyarakat sekitar menjaga diri dan patuhi segala arahan diberikan," katanya.

M Kula Segaran bersama Dr Lee Boon Chye hadir meninjau sambutan perayaan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniar, Gunung Cheroh.
M Kula Segaran bersama Dr Lee Boon Chye hadir meninjau sambutan perayaan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniar, Gunung Cheroh.

Artikel Berkaitan:

Dianggarkan hampir 10,000 orang membanjiri pekarangan kuil terbabit sejak jam 2 pagi.

Gerai-gerai menjual makanan, pakaian dan peralatan keagamaan turut mula beroperasi dan menjadi tumpuan pengunjung.

Terdahulu, Menteri Sumber Manusia yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kula Segaran dan Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye turut hadir meninjau suasana sambutan Thaipusam di kuil berkenaan.