Jangan terpedaya, sebar maklumat palsu pembubaran DUN Perak - MB

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
A
A
A

BATU GAJAH - Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terpedaya atau menyebarkan dakwaan kononnya Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak akan dibubarkan dalam masa terdekat bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, dakwaan kononnya beliau telah menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan mendapat perkenan baginda untuk pembubaran DUN adalah tidak benar serta boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

"Pembubaran DUN melibatkan persiapan meliputi pelbagai pihak antaranya polis perlu diletakkan dalam keadaan siap siaga, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kena buat persediaan, manakala pejabat-pejabat daerah pula perlu menyusun petugas pilihan raya.

"Malah, ketua-ketua kampung juga akan mula tertanya-tanya sama ada mereka masih memegang jawatan berkenaan atau tidak susulan dakwaan yang tular," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Kampung Angkat MADANI anjuran Pertubuhan Perisikan Pertahanan Malaysia (MDIO) 2026 di Kampung Seri Jaya di sini pada Khamis.

Semalam, Pejabat Menteri Besar Perak menafikan dakwaan beberapa platform media sosial kononnya Saarani menghadap Sultan Nazrin bagi memohon dan mendapat perkenan untuk pembubaran DUN.

Susulan itu, satu laporan dibuat kepada pihak berkuasa berhubung dakwaan terbabit yang disifatkan sebagai tidak benar dan tidak berasas. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!