Kerajaan gagal lucut hak harta UMNO, MCA, dua syarikat

Laporan Sinar Harian berkaitan pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan 41 penama menerima dana 1MDB.
Laporan Sinar Harian berkaitan pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan 41 penama menerima dana 1MDB.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan kerajaan untuk melucut hak harta UMNO, Wanita MCA, Syarikat Binsabi Sdn Bhd dan Syarikat Perano Sdn Bhd membabitkan wang berjumlah hampir RM194 juta.

Daripada jumlah itu, UMNO mencatatkan nilai tertinggi iaitu RM192.9 juta diikuti Syarikat Binsabi Sdn Bhd (RM 777,250), Syarikat Perano Sdn Bhd (RM337,634.78) dan Wanita MCA (RM300,000).

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas mendapati wang bagi keempat-empat entiti berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan wang yang didakwa didepositkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, jumlah wang dari akaun bank responden yang tinggal tidak boleh dikatakan diambil daripada jumlah yang disumbangkan oleh bekas Presiden UMNO itu.

Ketika membaca penghakimannya, Mohamed Zaini berkata, pasukan pembelaan berjaya membuktikan tiada wang (sebagaimana yang dituntut) disimpan dalam akaun bank bermula April hingga Ogos 2013.

“Meskipun selepas akaun dibekukan pada 2018, didapati baki akaun responden tidak boleh dikatakan sebahagian wang daripada Datuk Seri Najib.

ARTIKEL BERKAITAN: SPRM dedah 41 penama penerima wang 1MDB

Permohonan lucut hak 41 responden bermotifkan politik, kata Najib

Artikel Berkaitan:

"Pengeluaran daripada akaun bank responden memberi justifikasi kepada responden bahawa wang itu telah lama dibelanjakan,” katanya.

Mahkamah turut mengarahkan kesemua akaun bank yang dibekukan dibatalkan serta-merta.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mahadi Abdul Jumaat memohon penangguhan dibuat sementara pihaknya menfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan.

“Jika keputusan rayuan memihak kepada pasukan pendakwaan, kami bimbang akan menghadapi masalah untuk mendapatkan semula wang yang diserahkan kepada responden memandangkan jumlah dana yang terlibat melebihi RM193 juta,” katanya.

Zaini kemudian membenarkan permohonan pendakwaan untuk menangguhkan perintah menarik balik pembekuan akaun bagi keempat-empat entiti itu.

Permohonan melucut hak itu dibuat mengikut Seksyen 56 (1) dan Seksyen 61 (2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Pada 21 Jun tahun lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata, SPRM memfailkan permohonan kepada mahkamah untuk mendapatkan semula wang daripada 41 responden berjumlah RM270 juta yang dikatakan mempunyai kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Latheefa berkata, tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) yang suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank Najib.