Bil air lebih mahal jika guna teknologi lebih canggih

Dr Zaki menekankan kepentingan mengekang pencemaran di kawasan sumber air bagi memastikan kelangsungan bekalan air pada masa depan.
Dr Zaki menekankan kepentingan mengekang pencemaran di kawasan sumber air bagi memastikan kelangsungan bekalan air pada masa depan.
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat Malaysia mungkin perlu membayar bil air pada harga yang lebih tinggi sekiranya sumber air di negara ini terdedah dengan pencemaran teruk yang bakal meningkatkan kos rawatan air bersih.

Menurut pakar Kualiti Air dan Permodelan, Dr Zaki Zainudin, pada masa ini teknologi rawatan air konvensional mampu bertahan bagi menampung kapasiti keperluan pengguna bagi tempoh 50 tahun akan datang, namun ia bergantung kepada tahap pencemaran terutama di kawasan sungai-sungai yang menjadi sumber air.

Katanya, Malaysia bertuah kerana memiliki sumber air yang banyak dan tidak perlu menggunakan teknologi terlalu tinggi seperti Singapura dan Denmark untuk memproses air terawat daripada pelbagai sumber alternatif.

Katanya, lebih 90 peratus sumber air mentah di Malaysia datangnya dari sungai-sungai dibandingkan dengan beberapa negara luar yang menggunakan sumber air bawah tanah.

“Sekiranya kita tidak mampu mengekang pencemaran sumber air maka teknologi rawatan air konvensional tidak mampu lagi digunakan pada masa depan.

“Oleh itu kita harus memastikan perancangan pembangunan dilaksanakan dengan bijak bagi mengelakkan pencemaran terus berlaku terutama di kawasan-kawasan muka sauk.

“Selagi sumber air yang mahu dirawat contohnya air dari sungai tidak terlalu tercemar maka teknologi rawatan air konvensional boleh terus digunakan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, rawatan air konvensional yang melibatkan tawas (coagulant) yang dicampur ke dalam air mentah dan berlakunya pemendapan, kemudian ditapis dan ditambah klorin bagi membunuh mikroorganisma dan bakteria tidak jauh ketinggalan berbanding negara-negara lain di dunia, namun apa yang membezakannya adalah terdapat limitasi dari segi kualiti air mentah yang boleh dirawat.

Bagaimanapun jelas Zaki, dalam kes Singapura negara tersebut berdepan dengan kekangan sumber air sehingga memerlukan mereka menggunakan teknologi tinggi seperti NEWater untuk memproses air kumbahan kepada air bersih yang kini menyumbang sebanyak 30 peratus air kepada permintaan negara itu.

Kata Zaki, tiada masalah jika teknologi termaju dalam rawatan air mahu digunakan di Malaysia, namun bersediakah pengguna membayar kenaikan kos berikutan penggunaan teknologi terbabit?

Sebagai contoh di Denmark, pada tahun 1980-an, purata bil air rakyatnya kira-kira RM155 sebulan, namun selepas menggunakan teknologi tinggi akibat pencemaran teruk pada sumber airnya bil air yang perlu dibayar rakyat Denmark melonjak kepada RM371 sebulan.

ARTIKEL BERKAITAN: Teroka teknologi simpan air hujan

Bekalan air di Perlis hanya bertahan empat bulan

Amaran krisis bekalan air

Krisis bekalan air: Kaji semula perjanjian lapuk

Sudah tiba masa Malaysia bertegas dengan Singapura

Malaysia mahu RM3 bukan 3 sen

Perjanjian air: Malaysia berhak semak selepas 25 tahun