Malaysia mahu RM3 bukan 3 sen

Pada tahun 2007, Malaysia mencadangkan harga air mentah yang dibekalkan kepada Singapura dinaikkan kepada RM3 untuk 1,000 gelen.
Pada tahun 2007, Malaysia mencadangkan harga air mentah yang dibekalkan kepada Singapura dinaikkan kepada RM3 untuk 1,000 gelen.
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia telah menggerakkan usaha untuk membangkitkan isu Perjanjian Air Malaysia-Singapura yang dikatakan tidak adil sejak 21 tahun lalu.

Pakar Kajian Sumber Air dari Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman berkata, bagaimanapun beberapa rundingan pada tahun 1998 hingga 2002 gagal mencapai persetujuan mengenai harga air mentah itu.

Katanya, kegagalan mencapai kata sepakat menyebabkan Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu mengambil keputusan menamatkan rundingan pada tahun 2002.

Beliau mendedahkan pemerintah Singapura sebelum itu mencadangkan harga 45 sen bagi setiap 1,000 gelen sehingga tahun 2011 dan 60 sen mulai 2011 hingga 2061 yang akan berterusan sehingga 100 tahun.

“Bagaimanapun, kerajaan Malaysia tidak bersetuju dengan harga tersebut dan mengenakan syarat bahawa Singapura perlu membayar 60 sen bagi 1,000 gelen bermula 2001 hingga 2007 dan RM3 (bagi 1,000 gelen) sehingga 2011, tetapi negara itu menolak,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Haliza berkata, isu berhubung perjanjian air antara Malaysia dan Singapura kembali berbangkit pada pertengahan tahun 2018 apabila Dr Mahathir mahu mengkajinya semula bagi fasa kedua.

“Berdasarkan laporan media tempatan, Dr Mahathir menjelaskan bekalan air adalah antara isu yang perlu diselesaikan dengan Singapura secara diplomatik.

“Bagaimanapun, media Singapura bertarikh 12 November 2018 mendedahkan pemerintah negara itu mendakwa Malaysia hilang hak mengkaji semula harga air mengikut Perjanjian Air Sungai Johor 1962,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menjelaskan lebih lanjut, katanya, sejarah perjanjian air antara Singapura dan Malaysia pertama kali ditandatangani pada 5 Disember 1927.

Malaysia di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad memulakan rundingan semula harga air dengan Singapura sejak tahun 1998 ketika Singapura di bawah pemerintahan bekas Perdana Menteri, Goh Chok Tong (kiri).
Malaysia di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad memulakan rundingan semula harga air dengan Singapura sejak tahun 1998 ketika Singapura di bawah pemerintahan bekas Perdana Menteri, Goh Chok Tong (kiri).

Bagaimanapun, katanya, perjanjian itu terbatal dan tidak lagi diguna pakai sebelum kerajaan Persekutuan Malaya memutuskan menandatangani satu lagi perjanjian dipanggil Penjanjian Air Singapura-Johor pada 1 September 1961.

Katanya, perjanjian itu memberikan Singapura hak mendapatkan 86 juta gelen air sehari dari Sungai Tebrau, Sungai Skudai, Takungan Air Pontian dan Takungan Air Gunung Pulai sehingga tahun 2011.

“Perjanjian dibuat sekali lagi pada 29 September 1962 yang membenarkan Singapura mendapatkan 250 juta gelen air dari Sungai Johor sehingga tahun 2061 pada harga 3 sen bagi setiap 1,000 gelen.

“Perjanjian kedua dipanggil Perjanjian Air Sungai Johor 1962 turut membolehkan Singapura menjual semula bekalan air dirawat kepada Malaysia pada harga 50 sen setiap 1,000 gelen,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai ketegangan isu perjanjian air pada ketika ini, menurut Haliza, kedua-dua pihak mempunyai pandangan berbeza mengenai hak mengkaji harga air di bawah Perjanjian Air Sungai Johor 1962, terutama takrifan pemahaman terhadap Klausa 14 dalam perjanjian itu.

Katanya, klausa perjanjian asal di bawah Klausa 14 menyebut ‘bila-bila masa selepas tahun 1986 dan 1987, kedua-dua belah pihak dibenarkan mengikut perundangan menyemak semula harga berkenaan’.

“Kita mengharapkan siri kedua rundingan perjanjian dapat berlangsung dengan keadaan lebih baik untuk memastikan Malaysia mendapat hak mengkaji semula harga air sebagaimana sepatutnya,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Amaran krisis bekalan air

Teroka teknologi simpan air hujan

Bil air lebih mahal jika guna teknologi lebih canggih

Perjanjian air: Kaji semula perjanjian lapuk

Perjanjian air: Malaysia berhak semak selepas 25 tahun

Sudah tiba masa Malaysia bertegas dengan Singapura