KDN kaji guna teknologi AI kawal sempadan

Kerajaan menghadapi kekangan bagi melaksanakan pembinaan pagar baharu di sempadan Malaysia-Thailand terutama di Kedah dan Perlis berikutan jaraknya terlalu panjang.
Kerajaan menghadapi kekangan bagi melaksanakan pembinaan pagar baharu di sempadan Malaysia-Thailand terutama di Kedah dan Perlis berikutan jaraknya terlalu panjang.
A
A
A

BUKIT KAYU HITAM - Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang meneroka penggunaan kaedah berteraskan teknologi dan inovasi termasuk penggunaan dron serta 'Artificial intelligence' (AI) atau kecerdasan buatan dalam memperkasakan tugas mengawal sempadan negara oleh pasukan keselamatan.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan menghadapi kekangan bagi melaksanakan pembinaan pagar baharu di sempadan Malaysia-Thailand terutama di Kedah dan Perlis berikutan jaraknya terlalu panjang.

"Saya turun lihat sendiri tahap pagar sempadan kita di Padang Besar, Perlis. Dalam aspek kawalan sempadan ini ia bukan melibatkan pagar sahaja, kita juga lihat peluang penggunaan dron dan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi strategik.

"Kita perlu teroka kaedah ini kerana kos penyelenggaraan pagar sedia ada sangat tinggi kerana meliputi jajaran kawasan yang sangat luas. Disebabkan itu ada kekangan dari sudut membina pagar baharu, kita harus lihat pagar sedia ada yang wajar diselenggara seadanya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan Hari Raya Aidilfitri dan penyampaian sumbangan di Markas Taktikal Pasukan Gerakan Am (Martak PGA), di sini pada Selasa.

Sehubungan itu, Saifuddin Nasution berkata, aspek kawalan keselamatan sempadan itu tidak boleh ditumpukan kepada isu pagar sahaja kerana ia turut melibatkan beberapa aspek lain selain kehadiran fizikal pasukan keselamatan.

Beliau berkata, oleh sebab itu kementeriannya cenderung dalam penggunaan teknologi kerana ia didapati mampu membantu pasukan keselamatan dalam usaha menangani kegiatan penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.

"Saya sendiri pun berharap kita dapat bilangan CCTV dapat ditingkatkan di lokasi strategik sepanjang sempadan kerana dapat membantu pihak polis terutama anggota PGA selaku barisan hadapan.

"Ini kerana penggunaan CCTV dapat catat sebarang bentuk perkara mencurigakan yang mana rakaman itu menjadi maklumat sangat bernilai kepada pihak berkuasa dalam merancang aspek kawalan sempadan negara,” katanya. - Bernama