Impak koronavirus terhadap ekonomi cuma sementara

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Impak ekonomi akibat penularan novel koronavirus 2019 dijangka hanya sementara berdasarkan pengalaman menghadapi Sindrom Penafasan Akut Teruk (SARS) sebelum ini, demikian menurut MIDF Research.

Firma penyelidikan itu yang mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2020 pada 4.5 peratus berkata, virus itu tidak memberi impak secara langsung kepada ekonomi, namun menerima kesan secara tidak langsung menerusi perdagangan dan pelaburan.

MIDF Research berkata, China selaku rakan perdagangan terbesar Malaysia menyumbang kira-kira 17 peratus dalam perdagangan.

“Namun, pada peringkat ini, kita tidak nampak sebarang impak ketara kepada ekonomi Malaysia akibat penularan itu kerana kami percaya bahawa ancaman itu hanya sementara dan akan dapat dikawal,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

MIDF Research berkata, pertumbuhan ekonomi tumbuh kepada 9.1 peratus semasa kemuncak penularan wabak SARS pada suku kedua berbanding 11.1 peratus bagi suku pertama.

“Ketiga-tiga industri -- pertama, kedua dan ketiga -- berkembang pada fasa perlahan. Bagaimanapun, pertumbuhan ekonomi pulih dengan pantas kepada 10 peratus tahun ke tahun pada suku berikutnya,” katanya.

Selain mengekalkan unjuran KDNK, firma penyelidikan itu turut mengekalkan unjuran eksport dan import pada 2020, masing-masing pada 1.5 peratus dan 0.8 peratus.

Sementara menunggu perkembangan selanjutnya mengenai jangkitan koronavirus, MIDF Research juga mengulangi sasaran asas akhir tahun 2020 bagi penanda aras Bursa Malaysia KLCI pada 1,680 mata.

Artikel Berkaitan:

Senario asas bagi penularan koronavirus akan dapat dikawal dalam tempoh enam bulan akan datang, sama seperti tempoh pengawalan wabak SARS pada 2002/2003.

“Kami menjangkakan pasaran ekuiti akan dibelenggu oleh sentimen berhati-hati bagi tempoh tiga hingga lima bulan akan datang. Bagaimanapun, mudah cair kewangan tambahan di rantau ini (susulan daripada pengurangan kadar selanjutnya), khususnya oleh People’s Bank of China boleh memberi sokongan.

“Memandangkan jumlah kes jangkitan mulai berkurangan, pasaran akan meraih kembali momentum peningkatan dan kembali pulih seperti sebelum jangkitan itu menular,” kata MIDF.

Menyentuh mengenai China, MIDF Research berkata republik itu dijangka berkembang pada kadar perlahan pada suku pertama, namun, bukan hanya berpunca daripada virus itu.

Penularan koronavirus secara kebetulan berlaku semasa sambutan Tahun Baharu China di mana perniagaan ditutup sekurang-kurangnya dua minggu dan pengeluaran terganggu sehingga dua bulan, katanya dan menurutnya pada kebiasaan, suku pertama merupakan tempoh tidak sibuk termasuk bagi industri semikonduktor.

Firma penyelidikan itu berpendapat tindakan segera kerajaan China termasuk menyuntik mudah tunai bernilai AS$173 bilion (RM713 bilion) dan mengurangkan kadar jangka pendek, mampu mengehadkan impak koronavirus terhadap ekonomi. - Bernama