892 pesakit koronavirus sembuh di China

Dalam tempoh 24 jam lalu, bilangan orang yang dijangkiti koronavirus meningkat sebanyak 2,897 kepada 19,665. - Foto Xinhua
Dalam tempoh 24 jam lalu, bilangan orang yang dijangkiti koronavirus meningkat sebanyak 2,897 kepada 19,665. - Foto Xinhua
A
A
A

BEIJING - Kira-kira 892 pesakit dijangkiti koronavirus yang kini sembuh dibenarkan keluar dari hospital pada malam kelmarin, menurut pihak berkuasa kesihatan China semalam.

Pengumuman itu dibuat selepas kes jangkitan wabak membawa maut itu telah meragut sekurang-kurangnya 563 nyawa manakala lebih 28,000 individu dijangkiti.

Sebagai usaha untuk menangani jumlah pesakit yang semakin meningkat, sebanyak 138 pasukan perubatan tambahan dihantar ke wilayah Hubei yang menjadi pusat epidemik tersebut.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) merayu sumbangan dana berjumlah AS$675 juta (RM2.8 bilion) untuk pelan memerangi koronavirus melalui pelaburan di negara yang dianggap berisiko.

"Hari ini, kami melancarkan rancangan siap siaga dan tidak balas strategik terhadap wabak itu. Kami memerlukan bantuan dana tersebut untuk tempoh tiga bulan akan datang.

"Mesej kami kepada komuniti antarabangsa adalah supaya melabur pada hari ini atau berdepan akibatnya," kata Ketua WHO,Tedros Adhanom Ghebreyesus di Geneva.

Menurutnya, rayuan dana tersebut adalah jauh lebih rendah daripada kos yang perlu ditanggung pada masa akan datang jika mereka tidak membuat persediaan awal.

Difahamkan, dana sebanyak AS$60 juta (RM247 juta) akan digunakan untuk membiayai operasi WHO manakala bakinya akan disalurkan kepada negara yang memerlukan bantuan untuk langkah membendung penularan koronavirus terbabit.

Artikel Berkaitan:

Ghebreyesus juga memaklumkan WHO telah menghantar 500,000 topeng muka dan 40,000 respirator ke 24 negara dari gudang agensi itu di Dubai dan Accra.

Ketika disoal tentang pakar antarabangsa yang akan dihantar ke China untuk membantu negara itu, beliau menyatakan misi yang dianjurkan WHO itu akan ke Beijing dalam masa terdekat.

Beliau turut memuji sumbangan AS$100 juta (RM412 juta) yang disumbangkan Bill and Melinda Gates Foundation yang akan digunakan untuk ujian, rawatan dan penyelidikan koronavirus tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif yayasan milik pengasas Microsoft itu, Mark Suzman berkata, pertubuhan multilateral, kerajaan dan sektor swasta perlu bekerjasama untuk membendung penularan wabak itu selain membantu negara lain melindungi rakyat mereka yang terdedah dengan koronavirus tersebut. - Agensi

Individu pertama dijangkiti koronavirus di Thailand, Jaimuay Sae-Ung, 73, yang jatuh sakit selepas pulang dari Wuhan pada Disember lalu dilaporkan telah sembuh. - Foto Agensi
Individu pertama dijangkiti koronavirus di Thailand, Jaimuay Sae-Ung, 73, yang jatuh sakit selepas pulang dari Wuhan pada Disember lalu dilaporkan telah sembuh. - Foto Agensi

Pengawas Internet China telah mengambil tindakan terhadap beberapa laman web, aplikasi mudah alih dan akaun media sosial kerana menyiarkan kandungan yang melanggar peraturan mengenai wabak koronavirus, lapor agensi berita Xinhua.

Di bawah seliaan Pentadbir Ruang Siber China (CAC), beberapa pengawas internet tempatan telah mengeluarkan aplikasi mudah alih daripada App Store, kata CAC semalam.

Ia termasuk laman web Baidu yang telah dipanggil untuk memberi keterangan kerana gagal mengendalikan kandungan yang melanggar peraturan, dimuat naik oleh pengguna. Beberapa akaun media sosial juga dikenakan tindakan kerana menyebarkan maklumat palsu, menurut CAC.

CAC berikrar untuk meningkatkan kerja-kerja pemantauan oleh pengawas Internet, menggesa mereka dan platform dalam talian bersama memikul tanggungjawab dalam memerangi wabak koronavirus.

ARTIKEL BERKAITAN: Jumlah korban koronavirus di Hubei meningkat 549 orang

Jumlah kematian akibat novel koronavirus di wilayah Hubei, China meningkat kepada 549 orang, menurut Suruhanjaya Kesihatan Wilayah hari ini.

Dalam tempoh 24 jam lalu, bilangan orang yang dijangkiti juga meningkat sebanyak 2,897 kepada 19,665.

Lebih 630 lagi dibenarkan keluar hospital, lapor agensi berita Sputnik.

Wabak koronavirus (2019-nCoV) pertama kali dikesan di bandar Wuhan di Hubei pada Disember, sejak itu virus tersebut merebak ke lebih 25 buah negara.

Minggu lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengisytiharkan darurat kesihatan global ekoran penularan wabak itu.