SPRM rakam lokasi dakwaan Rosmah terima rasuah RM1.5 juta

Rosmah ketika hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. FOTO: ZAHID IZZANI
Rosmah ketika hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. FOTO: ZAHID IZZANI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Saksi kedua pendakwaan, Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Redzuan Othman 27, memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini sebanyak 10 keping gambar diambil dari dalam rumah Rosmah pada 2 November 2018.

Ia termasuk lokasi di mana Rosmah didakwa menerima RM1.5 juta untuk projek menyediakan tenaga solar kepada sekolah-sekolah luar bandar di Sarawak.

Beliau mengenal pasti salah satu daripada gambar yang diambil di ruang tamu ketiga di kediaman itu.

Satu lagi gambar katanya diambil di sudut kanan ruang tamu ketiga, dengan satu sofa, di mana beg berisi RM1.5 juta dikatakan diletakkan di situ pada 7 September 2017.

Redzuan berkata, beliau menerima arahan daripada pegawai penyiasat kes untuk mengambil gambar seperti yang dikenal pasti oleh saksi lain dalam kes itu.

Ketika gambar itu diambil, Redzuan berkata, dia pergi ke rumah Rosmah bersama saksi yang dibawa dengan kenderaan SPRM dan diminta untuk mengenal pasti lokasi di dalam dan di luar rumah.

Sebelum itu, Saksi pertama pendakwaan, Huzairi Zainal Abidin, 42, memberitahu mahkamah bahawa Rosmah tidak mempunyai kedudukan rasmi dalam kerajaan tetapi memainkan peranan penting dalam kerja-kerja berkaitan kebajikan selama sembilan tahun suaminya menjadi Perdana Menteri.

Untuk tujuan itu, First Lady Of Malaysia (FLOM) ditubuhkan untuk tujuan berkenaan dan laman web tertentu diwujudkan.

Artikel Berkaitan:

Huzairi Zainal berkata, bekas Pegawai Khas Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Rizal Mansor bertugas sebagai pegawai di bawah FLOM.

Bagaimanapun, Huzairi berkata FLOM dinamakan semula dan laman web berkenan dipadamkan selepas timbul kontroversi bahawa Raja Permaisuri Agong sepatutnya digelar wanita pertama.