Operasi IWK ikut piawaian JAS

IWK diuruskan oleh tenaga kerja profesional yang berpengalaman luas dalam pelbagai bidang kepakaran.
IWK diuruskan oleh tenaga kerja profesional yang berpengalaman luas dalam pelbagai bidang kepakaran.
A
A
A

DALAM meniti arus perbandaran dan pembangunan yang pesat, kerajaan mengamalkan amalan yang mampan untuk menangani cabaran alam sekitar dan sosial.

Pada masa yang sama, negara memerlukan infrastruktur yang penting untuk menyokong pertumbuhan pembangunan. Rawatan air sisa adalah aspek penting dalam pembangunan kerana kitaran air boleh diperbaharui selepas rawatan itu.

Sejak Rancangan Malaysia Ke-7 (RMK-7), Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd bersama kerajaan Persekutuan telah melaksanakan penambahbaikan pembetungan secara besar-besaran untuk memelihara alam sekitar dan kesihatan awam.

Kini Malaysia menikmati salah satu perkhidmatan pembetungan yang terbaik di rantau ini.

IWK dalam satu kenyataan berkata, sebagai sebuah syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan, IWK mengendali dan menyelenggara sebanyak 8,147 loji rawatan kumbahan (LRK) dan rangkaian stesen pam di kawasan operasi di seluruh negara.

Menurut kenyataan tersebut, IWK diuruskan oleh tenaga kerja profesional berpengalaman luas dalam pelbagai bidang kepakaran yang terdiri daripada perancangan dan kejuruteraan, operasi semua aset pembetungan awam serta pengurusan harian untuk seluruh perkhidmatan.

“IWK ditadbir oleh sebuah lembaga profesional yang dilantik kerajaan termasuk Pengarah Bebas dan Bukan Bebas. IWK tertakluk kepada pengawasan perniagaan dan kewangan yang ketat serta kerap tertakluk kepada audit profesional pihak ketiga termasuk Jabatan Audit Negara.

“Begitu juga, operasi IWK perlu mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh badan kawal selia dan pihak berkuasa. Pada tahun 2019, tahap pematuhan terhadap piawaian Jabatan Alam Sekitar (JAS) adalah sebanyak 96 peratus di seluruh negara,” kata kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Malaysia menikmati salah satu perkhidmatan pembetungan yang terbaik di rantau ini.
Malaysia menikmati salah satu perkhidmatan pembetungan yang terbaik di rantau ini.

Menurut IWK, apabila organisasi berkenaan menerima pertanyaan atau aduan daripada orang awam, lebih 97 peratus pertanyaan operasi dapat diselesaikan dalam tempoh perkhidmatan yang ditetapkan.

Kata IWK, daripada jumlah aset loji rawatan kumbahan dan rangkaian stesen pam, lebih 28 peratus terletak di Selangor yang merangkumi sebanyak 1,804 LRK dan 506 rangkaian stesen pam dengan tahap pematuhan sebanyak 97 peratus.

“Selangor merekodkan penyambungan sistem pembetungan yang lebih baik iaitu sebanyak 90 peratus, berbanding sebanyak 83 peratus pada 10 tahun lalu.

“Lebih RM3 bilion dilaburkan untuk pembinaan, menaik taraf dan penambahbaikan sistem pembetungan awam di Selangor oleh kerajaan Persekutuan di dalam RMK-9 dan RMK-10 (2006-2015) serta RMK-11 (2016-2020),” kata kenyataan itu lagi.

Sistem pembetungan canggih

Selangor mempunyai beberapa sistem pembetungan canggih dan moden yang bukan sahaja memenuhi piawaian kualiti efluen ketat, malah mesra alam sekitar dengan seni bina bersesuaian dengan persekitaran.

IWK dalam kenyataannya itu berkata, pembangunan infrastruktur pembetungan perlu untuk memastikan rakyat di Selangor dan di seluruh Malaysia mempunyai tahap sanitasi awam yang tinggi.

“IWK juga amat berbangga dengan pelbagai pengiktirafan dan penghargaan yang diterima untuk perkhidmatan yang cekap dan efisien,” kata kenyataan itu.

Persatuan Air Malaysia menganugerahkan IWK dengan Anugerah LRK Terbaik untuk tiga tahun berturut-turut termasuk LRK Setia Alam, Selangor pada tahun 2019.

“IWK telah membangunkan dan melaksanakan pelbagai inisiatif berhubung dengan pengurusan aset selaras dengan piawaian antarabangsa seperti BSIPAS55:2008 yang berasaskan Piawaian British dan Sistem Pengurusan Aset ISO 55000 piawaian antarabangsa.

“IWK berjaya memperoleh pensijilan Sistem Pengurusan Aset ISO 55001:2014 (AMS) untuk usahanya yang berterusan dalam meningkatkan tahap pengurusan aset dan merupakan satu-satunya syarikat berkaitan air pertama di Malaysia mendapatkan pensijilan ini,” menurut kenyataan tersebut.

Sebagai sebuah syarikat yang memberi fokus kepada pengurusan aset infrastruktur fizikal, IWK sentiasa memberi penekanan dalam pelaksanaan amalan pengurusan aset yang baik di seluruh syarikat.

400,000 lurang pembetungan di seluruh Malaysia

Menurut IWK, semua aset rawatan kumbahan IWK beroperasi selama 24 jam, 365 hari setahun.

Kata IWK, loji rawatan kumbahan yang besar diselenggara kakitangan dan LRK yang kecil beroperasi dalam mod automatik dengan lawatan pemeriksaan yang kerap oleh pasukan operasi IWK.

Terdapat hampir 400,000 lurang pembetungan di seluruh Malaysia dan adalah mustahil untuk mempunyai sensor atau membuat pemeriksaan di lurang-lurang pembetungan tersebut yang terletak di kawasan awam.

“Bagaimanapun, kami mengambil beberapa langkah serius dengan menutup lurang pembetungan yang kritikal dan menjalankan perkhidmatan pengosongan berjadual di lurang-lurang berkenaan.

“IWK juga mengambil langkah untuk meletak premix di atas penutup lurang pembetungan di kawasan tertentu tetapi ia bukanlah satu jalan penyelesaian yang bijak dan melibatkan perbelanjaan wang yang tinggi.

“Perbuatan jenayah seperti pembuangan sisa haram ke dalam lurang pembetungan haruslah dihukum dan pelaku hendaklah dibawa kepada muka pengadilan kerana telah mencemarkan bekalan air mentah yang penting untuk keperluan asas manusia,” kata kenyataan tersebut.

Menurut IWK lagi, walaupun pihak berkuasa dan badan kawal selia menguatkan usaha untuk menangani isu tersebut, IWK amat menghargai orang ramai yang berkongsi gambar dan video pembuangan sisa secara haram di lurang pembetungan awam oleh kontraktor persendirian.

“Usaha yang berterusan oleh orang ramai amatlah dihargai dan mereka boleh terus memberikan maklumat kepada kami melalui care@iwk.com. my,” kata kenyataan itu lagi.