Krisis koronavirus: Kempen TMM2020 distruktur semula

Mohammadin ketika menjawab soalan pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pemulihan Pelancongan di pejabatnya hari ini.
Mohammadin ketika menjawab soalan pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pemulihan Pelancongan di pejabatnya hari ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020 akan distruktur semula dengan memberi fokus kepada pasaran Eropah, Asia Tengah, Timur Tengah dan Asia Timur susulan krisis wabak koronavirus yang menyaksikan banyak penerbangan ke China dihentikan ketika ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohammadin Ketapi berkata, langkah itu diambil berikutan terdapat penurunan mendadak pelancong dari China ketika ini.

Menurutnya, penstrukturan semula kempen itu merupakan strategi jangka pendek atau 'Quick Wins' yang diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pemulihan Pelancongan yang bermesyuarat kali pertama hari ini.

"Krisis koronavirus ini telah menjejaskan jumlah ketibaan pelancong dari China yang telah turun dengan mendadak.

"Turut menjadi kegusaran adalah reaksi dan kebimbangan rakyat terutamanya mereka yang bekerja dalam industri pelancongan akan risiko jangkitan penyakit dan kesan penurunan ketibaan pelancong ke Malaysia.

"Justeru, kementerian telah mula merangka strategi baharu dengan menstruktur semula TMM 2020 ini," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pemulihan Pelancongan di pejabat kementeriannya di sini.

ARTIKEL BERKAITAN: Koronavirus: Pembatalan tempahan hotel meningkat

Mohammadin berkata, selain menstruktur semula promosi TMM 2020 yang memberi fokus kepada pasaran baharu itu, strategi 'Quick Wins' juga akan menumpukan kepada pasaran jarak dekat negara-negara ASEAN sebagai kempen alternatif.

Artikel Berkaitan:

Selain itu katanya, beliau juga sedia untuk mengadakan perbincangan intensif dengan bersama syarikat penerbangan Malaysia seperti Malaysia Airlines (MAS), Malindo Air dan AirAsia untuk menerokai laluan penerbangan baharu terutama ke pasaran Eropah, Timur Tengah dan Asia Tengah.

"Pasaran baharu ini saya yakin mampu memberi pulangan ketibaan pelancong serta perbelanjaan pelancong yang lumayan ke Malaysia," katanya.

Dalam pada itu ditanya sama ada sasaran 30 juta ketibaan pelancong asing dikekalkan, Mohammadin menegaskan jumlah yang disasarkan itu kekal.

"Kementerian ini komited untuk memastikan sektor pelancongan di Malaysia kekal mampan dan bergerak maju walaupun kita sedang berdepan dengan situasi antarabangsa yang di luar kawalan ini," katanya.