Koronavirus: Pembatalan tempahan hotel meningkat

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Pembatalan tempahan bilik hotel menunjukkan peningkatan selepas kerajaan China mengeluarkan larangan ke atas warganya daripada membuat tempahan di luar negara, penerbangan dan hotel beberapa hari yang lalu, kata Persatuan Hotel Malaysia (MAH).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAH, Yap Li Seng, kesan penularan wabak koronavirus tempahan hotel di Kota Kinabalu dan Langkawi dijangka menurun mendadak sekitar 30 peratus hingga 60 peratus.

Manakala destinasi hotel lain seperti Melaka, Ipoh, Port Dickson dan Pulau Pinang turut terkesan dengan penurunan tempahan antara 10 peratus hingga 50 peratus.

Li Seng berkata, dalam satu mesyuarat MAH dengan persatuan industri melahirkan komitmen untuk menyokong langkah kerajaan berjaga-jaga dan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan untuk mencegah penularan wabak berkenaan.

Yap Li Seng
Yap Li Seng

"Pihak hotel tempatan dan antarabangsa turut menyatakan kesanggupan mereka pelancong membuat penangguhan, pembatalan atau membuat bayaran balik tempahan hotel," katanya dalam satu kenyataan.

Di bawah kempen Tahun Melawat Malaysia 2020, negara dijangka menerima kunjungan 30 juta pelancong dengan dianggarkan 3.48 juta pelancong datang dari China.

Li Seng berkata, semua hotel juga kini mematuhi prosedur kebersihan untuk semua tetamu dan kakitangan dan bersedia untuk pengasingan sekiranya berlaku penularan wabak daripada pelancong.

Artikel Berkaitan:

"Selain hotel, pihak berkepentingan lain termasuk syarikat penerbangan dan pengendali pelancongan juga sedang menimbangkan pelan kontingensi segera untuk meningkatkan industri pelancongan dari pasaran lain.

"Kami bekerjasama untuk melaksanakan pakej menarik sebagai alternatif kepada mereka yang merancang untuk melancong ke China. Ini bukan sahaja akan menggalakkan pelancongan domestik tetapi juga boleh mengurangkan impak negatif daripada keadaan semasa," katanya.

Menurutnya, MAH dan ahli persatuan lain melahirkan keyakinan usaha yang dilakukan kerajaan dalam menangani krisis kecemasan penularan wabak koronavirus ini dan yakin dan Malaysia selamat untuk pelancong.