Bersatu tangguh pemilihan bahagian, fokus kepada PRN

Hamzah
Hamzah
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebulat suara memutuskan untuk menangguhkan pemilihan bahagian bagi memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, bagaimanapun pemilihan MPT di peringkat cawangan akan diteruskan.

“Untuk menghadapi pilihan raya di enam negeri yang bakal berlangsung tidak berapa lama lagi, seluruh kekuatan jentera parti perlu diperkemaskan membabitkan semua negeri agar menjadi satu ketumbukan yang ampuh.

“Sehubungan itu, Majlis Pimpinan Tertinggi juga bersetuju agar pemilihan bahagian dan MPT (kecuali cawangan) ditangguhkan tidak lebih daripada tempoh 18 bulan seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Bersatu fasal 14.15,” kata beliau dalam kenyataan pada Sabtu.

Ketua Pembangkang itu dalam kenyataan sama menzahirkan keyakinan bahawa parti tersebut bersama rakan koalisinya dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) akan memenangi kemenangan besar dalam PRN.

Justeru Ahli Parlimen Larut tersebut berkata, pihaknya akan berusaha sedaya upaya menawan negeri yang berada dalam pentadbiran blok Kerajaan Perpaduan termasuk Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menjemput orang ramai ke Majlis Rumah Terbuka PN yang akan berlangsung pada 21 Mei nanti.

“Orang ramai dijemput hadir ke Majlis Rumah Terbuka PN yang akan berlangsung pada 21 Mei 2023 (Ahad), bertempat di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, Seksyen 7, Shah Alam, bermula dari pukul 8 hingga 11 malam,” tambahnya.