X

Kindly register in order to view this article
!

Koronavirus: Cecair pembasmi kuman kehabisan stok

Gambar hiasan.
A
A

KUALA LUMPUR - “Maaf ya, hand sanitiser (cecair pembasmi kuman) sudah habis. Kami dah 'order' tapi belum dapat lagi. Di HQ (ibu pejabat) pun sudah habis, tak tahu bila dapat stok baru”.

Sudah beberapa farmasi saya pergi sebelum ini tetapi jawapannya seakan sama.

Tidak kisahlah sama ada yang berjenama, yang popular atau yang biasa-biasa, segala jenis jenama pembasmi kuman semuanya tidak ada stok.

Kebanyakan kedai mengakui permintaan produk ini begitu mendadak pada masa ini selain daripada topeng muka.

Seorang jurujual sebuah pusat rangkaian farmasi terkenal di Lembah Klang yang memperkenalkan dirinya sebagai Dayah memberitahu penulis, cecair pembasmi kuman itu sudah mula kehabisan stok sejak 25 Januari lalu sebaik sahaja kes pertama koronavirus di Malaysia dilaporkan positif.

Tidak dinafikan, sejak wabak tersebut atau juga dikenali sebagai Wuhan koronavirus mula merebak ke lebih banyak negara termasuk di Malaysia, masyarakat di negara ini semakin berasa bimbang sehingga ramai berpusu-pusu mencari topeng muka dan cecair pembasmi kuman sehingga kehabisan stok.

Keadaan ini menimbulkan persoalan sama ada penggunaan cecair pembasmi kuman ini boleh melindungi seseorang individu itu daripada jangkitan termasuk Wuhan koronavirus atau 2019 novel koronavirus (2019-nCoV)?

Adakah hand sanitiser cara terbaik?

Menurut Pakar Perubatan Dalaman dan Penyakit Berjangkit, Fakulti Perubatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Rosnida Mohd Noh, masyarakat tidak perlu panik apabila cecair pembasmi kuman habis di pasaran.

Katanya, ini kerana cara terbaik melindungi daripada jangkitan wabak berkenaan atau apa-apa sahaja penyakit adalah melalui cara cucian tangan secara betul.

“Ada dua cara untuk membersihkan tangan dengan betul bagi mengelakkan jangkitan virus termasuk koronavirus. Iaitu membasuh tangan dengan kerap menggunakan sabun dan air serta hand sanitiser dengan kandungan alkohol sekurang-kurangnya 60 peratus.

“Tetapi, jika hand sanitiser sudah habis, jangan panik. Kita hanya perlu memastikan membasuh tangan dengan sabun dan air yang cukup, sekurang-kurangnya selama 20 saat dengan kerap untuk memastikan tiada jangkitan.

“Malah, membasuh tangan dengan sabun dan air secara betul adalah cara terbaik untuk membersihkan tangan terutama jika ada kotoran jelas di tangan. Ia lebih mudah dan sesuai untuk aktiviti harian,” katanya kepada Bernama.

Menjelaskan lebih lanjut, Dr Rosnida berkata, kepentingan membasuh tangan menggunakan sabun dengan air juga lebih baik jika kandungan alkohol di dalam pembasmi kuman tidak mencapai tahap yang diperlukan untuk membunuh virus.

Katanya, pembasmi kuman yang mempunyai kandungan alkohol sekurang-kurangnya 60 peratus ke atas adalah lebih berkesan berbanding pembasmi kuman yang mengandungi kurang alkohol atau langsung tidak mempunyai alkohol.

Berkaitan dengan penggunaan tisu basah pula, Dr Rosnida berkata, kaedah tersebut tidak dicadangkan langsung oleh mana-mana pihak termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan pengamal kesihatan untuk membersihkan tangan bagi mengelak jangkitan pelbagai virus termasuklah Wuhan koronavirus.

Sehingga 31 Januari lalu, jangkitan koronavirus yang mula dikesan pada Disember 2019 di Wuhan, China sudah mencecah sebanyak 9,356 kes dan 213 kematian, demikian menurut agensi berita Rusia, Sputnik menurut laporan media China.

Menurut laporan akhbar South China Morning Post pula, dalam tempoh 24 jam lalu Jumaat lalu, lebih 1,200 kes baharu direkodkan di 17 bandar raya China.

Sementara itu, menurut WHO, wabak berkenaan mencatatkan 98 kes di 18 buah negara di luar China, termasuk lapan kes jangkitan daripada manusia ke manusia di empat negara iaitu Jerman, Jepun, Vietnam dan Amerika Syarikat.

Manakala di Malaysia, jumlah kes yang disahkan positif koronavirus sehingga 31 Jan adalah lapan orang, yang semuanya melibatkan warganegara China.

Dengan perkembangan tersebut, WHO akhirnya mengisytiharkan darurat kesihatan awam berikutan kebimbangan dunia terhadap wabak berkenaan.

Koronavirus telah meningkatkan peningkatan kesedaran masyarakat untuk mengutamakan penjagaan kebersihan diri dan persekitaran.

Dalam hal ini, diharapkan amalan ini akan berterusan dan menjadi budaya bukan sekadar ‘bermusim’ bila ada penyakit atau wabak melanda!

Amalan penjagaan kebersihan diri, persekitaran

Semakan yang dibuat ke atas Laman sesawang Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), badan dunia itu turut menyenaraikan beberapa langkah yang boleh dijadikan panduan oleh orang ramai bagi mencegah penularan penyakit berpunca daripada novel koronavirus (2019-nCoV).

WHO menyenaraikan beberapa langkah untuk orang awam amalkan bagi mengurangkan risiko pendedahan serta jangkitan pelbagai penyakit.

Ini termasuk amalan penjagaan kebersihan diri (termasuk tangan dan pernafasan) serta persekitaran di samping amalan penyediaan makanan yang selamat.

Antara yang boleh dijadikan panduan adalah seperti berikut:-

-Kerap mencuci tangan dengan menggunakan sabun dan air atau cucian tangan yang berasaskan alkohol.

-Tutup mulut dengan tangan atau tisu apabila batuk atau bersin - buang tisu sebaik sahaja digunakan dan cuci tangan.

-Jauhi orang yang demam atau batuk.

-Sekiranya anda demam, batuk dan sukar bernafas, segeralah mendapatkan rawatan perubatan dan maklumkan kepada pegawai perubatan yang merawat anda sekiranya anda anda melakukan perjalanan ke mana-mana tempat atau negara;

-Apabila anda ke pasar yang ada menjual haiwan hidup di kawasan yang kini diisytiharkan sebagai lokasi wabak kes novel koronavirus, elakkan daripada menyentuh secara langsung, tanpa perlindungan dengan haiwan hidup itu. Jangan juga sentuh tempat atau permukaan tempat haiwan itu berada;

-Elakkan makan produk haiwan yang tidak dimasak atau separuh masak. Sebagai amalan keselamatan makanan yang baik, daging mentah, susu atau organ haiwan perlu dikendalikan secara berhati-hati bagi mengelakkan pencemaran silang (cross contamination) dengan makanan tidak dimasak.

Elakkan diri, orang lain daripada mendapat penyakit

Apa yang perlu dilakukan:-

-Sekiranya ada kekotoran di tangan, cuci tangan dengan sabun dan air yang mengalir. Sekiranya kekotoran tidak nampak, kerap mencuci dengan sabun dan air serta cucian tangan yang berasaskan alkohol.

-Cuci tangan selepas batuk atau bersin; selepas menjaga orang sakit; sebelum, semasa dan selepas menyediakan makanan; sebelum menjamah makanan; selepas menggunakan tandas; apabila tangan kotor; selepas memegang haiwan atau najis haiwan.

-Apabila batuk atau bersin - tutup mulut dan hidung dengan tangan atau tisu; buang serta merta tisu yang sudah digunakan ke dalam tong sampah bertutup; cuci tangan dengan sabun dan air selepas batuk atau bersin atau selepas menjaga orang sakit

-Jauhi orang sekiranya anda batuk atau demam; elakkan meludah di tempat awam; sekiranya anda demam, batuk atau mengalami kesukaran bernafas, dapatkan rawatan perubatan dan beritahu pegawai perubatan yang merawat anda sekiranya anda ada berkunjung ke mana-mana tempat atau negara

Amalan keselamatan makanan

-Gunakan papan pemotong dan pisau yang berbeza untuk daging mentah dan makanan yang dimasak;

-Cuci tangan apabila mahu menyentuh makanan mentah dan jika mahu memegang makanan yang sudah dimasak;

-Jangan makan haiwan yang sakit atau sudah mati akibat penyakit;

-Walaupun berada di kawasan yang sudah ada wabak, produk daging masih selamat dimakan sekiranya dimasak secara menyeluruh dan dikendalikan dengan selamat sewaktu disediakan.- Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus