PRN: Agihan kerusi PN lancar tapi belum muktamad

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Mesyuarat pengagihan kerusi Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) selesai di peringkat Jawatankuasa Pengagihan Kerusi PN bagi enam negeri PRN.

Bagaimanapun Sinar Harian difahamkan, terdapat pertindihan melibatkan beberapa kerusi yang belum dimuktamadkan.

Sumber rasmi PN memberitahu, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man itu diwakili semua parti gabungan PN dan berjalan lancar.

"Mesyuarat selesai dan berjalan lancar tapi tak boleh dimuktamadkan lagi sebab perlu dibawa ke mesyuarat Majlis Presiden PN.

"Belum ada tarikh lagi (mesyuarat Majlis Presiden)," katanya ketika ditemui media pada Isnin.


Jelas sumber rasmi tersebut, Jawatankuasa Pengagihan Kerusi PN bagi enam negeri PRN hanya melibatkan 10 ahli terdiri daripada wakil empat parti.

"Tak semua MPT (majlis pimpinan tertinggi terlibat)," katanya.

Pada Ahad, Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pembahagian kerusi PN akan dimuktamadkan pada Isnin bagi menghadapi enam PRN.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan tidak sampai separuh daripada Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), PN yang terlibat dalam mesyuarat bagi memuktamadkan agihan kerusi PRN bagi enam negeri.

Menurut sumber ibu pejabat PN, mesyuarat berkenaan telah berlangsung pada jam 10 pagi dan berakhir pada jam 1 petang.

Ia berbeza dengan maklumat yang diterima pihak media bahawa mesyuarat berkenaan bermula jam 5 petang.

"Mesyuarat tentang agihan kerusi ada pagi tadi. Tapi tak semua MPT hadir.

"Apa yang saya boleh maklumkan, tak sampai separuh pun MPT yang hadir," katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum itu, beberapa petugas media menunggu seawal jam 4 petang di perkarangan blok ibu pejabat PN namun tiada sebarang kelibat pemimpin PN yang kelihatan.

Pada Ahad, Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, dilapor berkata, pembahagian kerusi dalam kalangan gabungan PN akan dimuktamadkan pada Isnin bagi menghadapi enam PRN.