Rumah amal GISBH: 171 individu direman tujuh hari

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain. Foto Bernama
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 171 individu yang ditahan dalam Op Global, direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berkaitan kes eksploitasi 402 kanak-kanak dari rumah amal sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan pelbagai kementerian dan agensi untuk tindakan susulan ke atas mangsa yang terlibat.

"Siasatan masih diteruskan, terutamanya dari segi pendidikan, kita tahu bahawa kanak-kanak yang sepatutnya bersekolah ini, tapi tidak ke sekolah dan dia ada pendidikannya sendiri, kita mungkin akan berhubung dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Apabila dia buka rumah amal ini, kononnya untuk anak yatim, kita juga nak melihat adakah rumah amal ini didaftarkan, itu semua masih disiasat, daripada situ juga mungkin ada kesalahan-kesalahan lain, akan ada saksi-saksi yang akan tampil," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Ujarnya lagi, kesemua mangsa masih dalam proses dokumentasi dan pemeriksaan kesihatan.

"Kita rasakan perlu untuk kita ambil asid deoksiribonukleik (DNA) serta melihat aspek kesihatan dan kebajikan.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut membantu, kanak-kanak itu kini ditempatkan di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur," katanya.

Beliau berkata, kesemua premis yang diserbu pada Rabu, telah ditutup buat sementara waktu, dan berkemungkinan akan diambil tindakan sita.

Artikel Berkaitan:

Pada Rabu, media melaporkan seramai 402 kanak-kanak berjaya diselamatkan hasil serbuan polis ke atas 20 rumah amal dipercayai milik GISB Holdings Sdn Bhd (GISB) di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.

Mangsa terdiri 201 kanak-kanak lelaki dan 201 perempuan berusia setahun hingga 17 tahun disyaki menjadi mangsa eksplotasi, pengabaian dan penganiayaan di premis dipercayai milik sebuah kumpulan berkenaan.

Razarudin memaklumkan siasatan dijalankan mengikut Akta Kanak-kanak 2001 [Akta 611], Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 [792], Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 ATIPSOM [Akta 670].

Selain itu, selain itu siasatan dibawah kesalahan-kesalahan mengikut Kanun Keseksaan [Akta 574] dan undang-undang lain yang sedang berkuat kuasa.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!