Rumah amal GISB di Puchong diserbu polis
PUCHONG - [DIKEMAS KINI] "Saya terkejut apabila rumah amal yang telah beroperasi sejak 2004 ditutup awal pagi ini," kata seorang penduduk apabila melihat sebuah lori 'Black Maria' milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) berada di hadapan kedai miliknya di Kampung Sri Aman, di sini awal pagi Rabu.
Shamsuri Omar, 65, berkata, sebelum ke masjid bagi menunaikan solat Subuh, kenderaan milik polis itu masih tiada di kedainya.
"Tetapi semasa pulang, kenderaan polis ini sudah berada di depan kedai dan saya melihat kanak-kanak di rumah amal dibawa oleh pihak polis.
"Saya difahamkan mereka dibawa ke Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur untuk proses dokumentasi," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Shamsuri berkata, kebanyakan penghuni rumah amal tersebut adalah kanak-kanak dan remaja wanita yang berusia 13 tahun ke atas.
Katanya, terdapat hampir 80 penghuni wanita di rumah amal tersebut.
Menurutnya, penghuni rumah amal itu tidak banyak bergaul dengan penduduk setempat dan membuat aktiviti sendiri di premis yang diduduki itu.
Namun katanya, terdapat juga penghuni di rumah amal itu datang ke kedainya bagi membeli barangan keperluan.
"Kami di sini tidak mengambil tahu hal mereka di rumah amal itu kerana mereka tidak bercampur dengan orang ramai," ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Shahril Mokhtar, 46, berkata, dia pada mulanya mendengar khabar angin bahawa ada orang meninggal dunia di rumah amal tersebut kerana ramai yang hadir ke premis itu pada awal pagi Rabu.
Namun begitu katanya, setelah hadir dan melihat sendiri situasi di rumah amal, dia melihat ramai polis berada di kawasan tersebut.
"Saya baru tahu ada operasi pihak polis untuk membawa penghuni di rumah amal ini bagi diselamatkan.
"Sekitar jam 12 tengah hari, operasi membawa keluar penghuni selesai dijalankan," ujarnya.
Tambahnya, terdapat sebuah lagi penempatan yang dipercayai milik pertubuhan itu terletak tidak jauh dari rumah amal tersebut.
Jelasnya, penempatan di situ dipercayai dihuni oleh remaja lelaki dan terdapat operasi menjalankan penternakan kuda.
"Ia tidak jauh dari sini dan di situ dipercayai menempatkan penghuni lelaki dari rumah amal yang sama," ujarnya.
Pada Rabu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, seramai 402 kanak-kanak berjaya diselamatkan hasil serbuan polis ke atas 20 rumah amal dikaitkan 'Global Ikhwan Service and Business Holding' (GISB) di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.