Mangsa kebakaran di Kampung Tekek, Pulau Tioman dapat bantuan

Kejadian kebakaran yang melibatkan tujuh rumah di Kampung Tekek pada 26 Januari lalu.
Kejadian kebakaran yang melibatkan tujuh rumah di Kampung Tekek pada 26 Januari lalu.
A
A
A

ROMPIN - Tujuh keluarga yang menjadi mangsa kebakaran di Kampung Tekek, Pulau Tioman di sini menerima bantuan membina semula dan membaiki rumah daripada kerajaan Persekutuan.

Kerja-kerja membina dan membaiki rumah mangsa kebakaran itu dilaksanakan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) selaku agensi pelaksana melalui kerjasama LPP Pahang dan Pejabat Penyelaras Parlimen Rompin.

Penyelaras Parlimen Rompin, Mohd Fadzli Mohd Ramly yang dilantik selaku Pengarah Projek berkata, kerja-kerja pembinaan semula dan membaiki rumah-rumah mangsa akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Menurutnya, melalui pengumuman bantuan khas itu sebelum ini, kerajaan bersetuju untuk membina baharu rumah mangsa yang musnah dan rumah-rumah mangsa yang mengalami kerosakan akan dibaiki.

“Bagaimanapun peruntukan keseluruhannya belum ditaksirkan kerana kos bagi pembinaan dan kerja-kerja membaiki rumah ini berbeza selain mengambil kira kos pengangkutan yang agak tinggi untuk membawa bahan binaan ke Pulau Tioman.

“Rumah-rumah baharu yang akan dibina kepada mangsa terlibat juga mengambil kira bilangan ahli keluarga berkenaan supaya ia lebih selesa,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Artikel Berkaitan:

Mohd Fadzli (dua dari kiri) dan Zulkifli (kiri) menyaksikan penyerahan bantuan khas kepada mangsa kebakaran yang disampaikan Mazlan pada majlis penyerahan bantuan dan pengumuman khas kerajaan Persekutuan kepada mangsa kebakaran di Pulau Tioman di Tanjung Gemok di sini.
Mohd Fadzli (dua dari kiri) dan Zulkifli (kiri) menyaksikan penyerahan bantuan khas kepada mangsa kebakaran yang disampaikan Mazlan pada majlis penyerahan bantuan dan pengumuman khas kerajaan Persekutuan kepada mangsa kebakaran di Pulau Tioman di Tanjung Gemok di sini.

Mohd Fadzli berkata, tapak pembinaan rumah berkenaan bergantung kepada mangsa kerana ada yang mahu membinanya di tapak baharu dan ada yang mahu kekal di tapak sedia ada.

“Kami amat menyambut baik berita gembira kepada mangsa-mangsa ini seperti yang diumumkan LPP Pahang pada majlis penyerahan bantuan dan pengumuman khas kerajaan Persekutuan kepada mangsa kebakaran di Pulau Tioman di Tanjung Gemok kelmarin.

“Bantuan khas ini diusahakan Pengerusi LPP, Datuk Mazlan Aliman dan beliau sendiri hadir pada majlis itu bersama Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (Pasfa), Zulkifli Mohamad,” katanya.

Beliau berkata, ia membuktikan keprihatinan kerajaan khususnya LPP terhadap ahlinya di mana mangsa yang terlibat merupakan ahli Pertubuhan Peladang Kawasan Rompin dan salah satu rumah milik keluarga Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Tioman sendiri.

“Alhamdulillah, selain khabar gembira yang amat dinanti-nantikan keluarga ini, LPP turut menghulurkan bantuan wang tunai bagi meringankan beban mereka,” katanya.

Dalam kebakaran kira-kira jam 3 petang pada 26 Januari lalu itu, empat rumah musnah sepenuhnya manakala dua lagi mengalami kerosakan.

Kejadian itu melibatkan 40 mangsa daripada tujuh keluarga dengan anggaran kerugian antara RM15,000 hingga RM180,000.